Terengganu, Johor berentap di pentas final ragbi Piala Agong Edisi Ke-42

Terengganu, Johor berentap di pentas final ragbi Piala Agong Edisi Ke-42

PASUKAN Terengganu dan Johor berjaya menempah slot ke perlawanan akhir Kejohanan Ragbi Piala Agong Edisi Ke-42 Tahun 2026 selepas mencatat kemenangan dalam aksi separuh akhir yang berlangsung pada Sabtu.

Dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kuala Terengganu, pasukan Terengganu berjaya menewaskan juara bertahan, PDRM dengan keputusan 22-20.

Terengganu yang mendahului 17-14 pada separuh masa pertama berjaya mempertahankan kelebihan tersebut sehingga tamat perlawanan untuk mengesahkan tempat ke final.

Sementara itu, di Stadium Pasir Gudang, Johor bangkit daripada ketinggalan 12-20 pada separuh masa pertama untuk menewaskan Kelantan 32-29 dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung sengit.

Kemenangan tersebut membolehkan Johor mara ke pentas final buat kali ketiga berturut-turut.

Kejohanan Piala Agong Edisi Ke-42 Tahun 2026 yang bermula pada 9 Mei lalu kini memasuki kemuncaknya apabila Terengganu dan Johor akan berentap bagi merebut kejuaraan manakala PDRM dan Kelantan akan beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat serta perlawanan akhir akan berlangsung pada 28 Jun 2026 (Ahad) di Stadium UiTM Shah Alam.

Perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat yang menemukan PDRM dan Kelantan dijadualkan bermula pada jam 2 petang, manakala perlawanan akhir antara Terengganu dan Johor akan berlangsung pada jam 5.15 petang.

Scroll to Top