TH sudah lakukan 'post-mortem' operasi haji

TH sudah lakukan 'post-mortem' operasi haji

am@hmetro.com.my

Sungai Petani: Kerajaan menerusi Lembaga Tabung Haji (TH) sudah memulakan ‘post-mortem’ operasi haji tahun ini bagi memastikan pengurusan ibadah berkenaan dapat dipertingkatkan pada musim depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata langkah itu tetap dilaksanakan walaupun pengurusan haji Malaysia sebelum ini menerima pengiktirafan sebagai antara yang terbaik di dunia.

Katanya, ketika ini jemaah Malaysia sudah memasuki fasa kedua kepulangan ke tanah air dan keseluruhan proses penerbangan dijangka selesai pada 30 Jun ini.

“Jemaah haji kita sudah (pulang) fasa kedua, dan ia berlaku dengan sangat baik.

“Walaupun penerbangan pulang jemaah belum tamat yang dijangka sehingga 30 Jun, tetapi kita sudah melakukan ‘post-mortem’ bagi menilai segala perjalanan haji supaya tahun depan lebih baik lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Himpunan Asatizah Muda (HAMKA) Peringkat Negeri Kedah di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Zulkifli berkata, ia membabitkan semakan menyeluruh terhadap pelbagai aspek pengurusan termasuk maklum balas jemaah serta penambahbaikan yang boleh dilaksanakan pada masa depan.

“Insya-Allah perjalanan haji tahun depan akan menjadi lebih baik lagi dan kita boleh terus menunjukkan kepada dunia Malaysia sentiasa berada di hadapan dalam aspek pengurusan haji,” katanya.

Ditanya mengenai mengenai harapan mendapatkan tambahan kuota haji Malaysia, beliau berkata, usaha berterusan sentiasa dilakukan kerajaan namun keputusan akhir tetap berada di bawah bidang kuasa kerajaan Arab Saudi.

“Sebenarnya kita memang sentiasa berusaha, tetapi itu adalah hak mutlak kerajaan Arab Saudi.

“Kita mengambil maklum ketika ini ruang untuk jemaah haji dari seluruh dunia sememangnya sangat terhad dan sentiasa dipenuhi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top