Tiada kilauan pingat olahraga di Nagoya

Tiada kilauan pingat olahraga di Nagoya

PETALING JAYA: Impian rakyat Malaysia untuk menyaksikan jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi menaiki podium dalam acara 100 meter (m) Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 tidak kesampaian apabila dia menamatkan saingan di kedudukan terakhir pada aksi di Stadium Olahraga Mizuho, Nagoya, hari ini.

Azeem menamatkan saingan di tempat kelapan dengan catatan 14.56 saat (s) selepas mengalami kecederaan, namun tetap menggagahkan diri meneruskan larian dalam keadaan terhencut sehingga melintasi garisan penamat.

Dia kemudiannya dilihat terbaring di atas trek dan pasukan perubatan segera mendapatkannya bagi memberi bantuan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pingat emas dimenangi atlet pecut Thailand, Puripol Boonson dengan penuh bergaya apabila melakukan catatan 9.90s sekali gus memperbaharui rekod baharu kejohanan yang dilakukannya ketika beraksi di separuh akhir iaitu 9.91s.

Perak dan gangsa menjadi milik pasangan adik-beradik Ali Anwar Al Balushi dan Malham Al Balushi dari Oman.

Ali menamatkan larian dengan catatan 10.04s manakala abangnya 10.11s dan itu merupakan catatan peribadi terbaik mereka berdua.

Sementara itu, bagi acara 400m lelaki pula menyaksikan wakil negara, Umar Osman gagal melayakkan diri ke separuh akhir selepas menduduki tempat keenam dengan catatan masa 46.91s dalam saringan kedua.

Turut mengalami nasib sama, Shereen Samson Vallabouy yang turun beraksi dalam acara 400m wanita apabila dia menamatkan saringan ketiga di kedudukan keempat dengan catatan masa 54.03s.

Bagi acara tukul besi lelaki menyaksikan Sadat Marzuqi Ajisan menamatkan saingan di kedudukan kedua tercorot daripada 15 peserta bertanding dengan balingan sejauh 62.58m. – UTUSAN

Scroll to Top