Tiada mesyuarat Lembaga Pengampunan hari ini – Hannah Yeoh

Tiada mesyuarat Lembaga Pengampunan hari ini – Hannah Yeoh

SHAH ALAM – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memaklumkan beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (FTPB).

Hannah berkata, beliau tidak menyedari mesyuarat berkenaan diadakan pada Jumaat.

“Saya tidak sedar ada mesyuarat lembaga pengampunan akan diadakan hari ini,” katanya memetik laporan Malaysiakini selepas menghadiri majlis peluncuran Stesen KTMB Segambut Utara, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Hannah, Ahmad Fazli Mohd Yadi menjelaskan bahawa Hannah sebenarnya ingin memberitahu tiada sebarang mesyuarat Lembaga Pengampunan diadakan.

Sebelum ini, terdapat desas-desus bahawa FTPB akan mengadakan mesyuarat pada Jumaat untuk berbincang permohonan pengampunan baru bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Ini susulan laporan sebuah portal bahawa seorang hakim bersara dan bekas pegawai kanan polis dilantik menganggotai FTPB, sekali gus membolehkan lembaga itu menyambung semula pendengaran petisyen pengampunan.

Bawah Perkara 42(6) Perlembagaan Persekutuan, semua ahli lembaga memegang jawatan selama tiga tahun dan layak dilantik semula, manakala Hannah menganggotai FTPB atas kapisiti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Terdahulu, Najib dilaporkan mengemukakan permohonan pengampunan baharu kepada FTPB pada sekitar Mac lalu dengan salinannya dihantar ke Istana Negara.

Permohonan itu bertujuan memohon pelepasan penuh daripada segala sabitan jenayah namun, masih tidak dapat dipastikan sama ada permohonan tersebut hanya melibatkan kes SRC International, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menafikan Najib mengemukakan permohonan pengampunan baharu.

Beliau mengesahkan bahawa tiada permohonan baharu difailkan oleh ahli politik terbabit yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram yang melibatkan RM42 juta dana SRC International pada 2020 sekali gus dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Scroll to Top