
Anggota penyelamat berkongsi makanan dengan mangsa sebelum dibawa turun dari gunung itu. – FOTO: Agensi
CIANJUR – Nama Ayi Solehudin meraih perhatian ramai setelah dia pernah dilaporkan hilang selama hampir tiga tahun sebelum ditemui dalam keadaan lemah di lereng gunung.
Operasi menyelamat mangsa berusia 45 tahun di Gunung Halimun Salak, Kabupaten Sukabumi di Jawa Barat, Indonesia pada 25 Mei lalu turut menjadi tular.
Penemuan mengejutkan itu dibuat penduduk yang sedang memeriksa saluran air di kawasan hutan tersebut.
Ayi yang dalam keadaan tidak terurus dan tubuhnya terlalu kurus dikatakan sedang duduk di atas batu berlumut pada ketinggian kira-kira 1,000 meter di kawasan sungai wilayah Cipari Girang, Desa Cisaat.
Sukarelawan Ambulans Sukabumi Bersatu (ASB), Muh Irfan Maulana berkata, Ayi kelihatan sangat tidak bermaya dan tidak boleh berjalan serta terkejut kerana dikerumuni ramai orang.
“Dia juga sukar untuk berkomunikasi,” ujarnya sambil menambah mangsa dibawa turun menggunakan tandu dihasilkan daripada sebatang kayu dan kain sarung.
Ayi kemudiannya dijemput oleh ahli keluarganya yang mengesahkan mangsa hilang tanpa jejak malah mereka sudah berusaha mencarinya sebelum ini, namun gagal. – Agensi



