TRADA gesa KKM siar daftar rokok sah bantu bendung penyeludupan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) digesa menerbitkan daftar jenama rokok yang didaftarkan secara sah bagi membantu agensi penguatkuasaan, peruncit dan pengguna mengenal pasti produk berlesen.

Presiden dan Pengasas Pertubuhan Transformasi Dayak (TRADA), Joseph Anak Janting berkata, langkah itu merupakan mekanisme praktikal yang boleh membantu memperkukuh usaha penguatkuasaan terhadap perdagangan rokok haram, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, daftar awam yang mudah diakses akan menyediakan satu rujukan rasmi kepada semua pihak sekali gus mengurangkan ruang yang boleh dieksploitasi oleh pihak terbabit dalam kegiatan perdagangan rokok haram.

“Agensi penguatkuasaan, peruncit dan komuniti kita berhak mendapatkan rujukan yang jelas dan rasmi.

“Kami meminta KKM menerbitkan senarai ini secara berperingkat apabila sesuatu produk diluluskan. Ia merupakan satu mekanisme yang dapat membantu semua pihak yang mahu mematuhi undang-undang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

TRADA pada masa sama menyatakan sokongan terhadap usaha agensi penguatkuasaan menangani kegiatan penyeludupan rokok yang menurutnya semakin mencabar, terutama di Malaysia Timur.

Berdasarkan laporan Nielsen IQ ICS pada Mei, kadar kejadian rokok haram masing-masing direkodkan sebanyak 74.8 peratus di Sarawak dan 75.9 peratus di Sabah.

Joseph berkata, keadaan itu perlu ditangani secara menyeluruh berikutan agensi penguatkuasaan berdepan cabaran seperti sempadan yang luas, bentuk muka bumi sukar serta kegiatan perdagangan yang sudah berakar umbi.

“Apabila anggota penguat kuasa diserang secara fizikal kerana menjalankan tugas mereka, ini menunjukkan betapa berakar umbinya kegiatan perdagangan ini.

“Namun, anggota penguat kuasa kita terus melaksanakan undang-undang dan mereka wajar menerima penghormatan serta sokongan penuh daripada kita,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa tindakan penguatkuasaan terbaharu menunjukkan kesungguhan pihak berkuasa membanteras kegiatan berkenaan.

Pada Ogos, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bersama Direktorat Jenderal Bea dan Cukai Indonesia melancarkan operasi bersama di sempadan Sabah, termasuk merampas rokok seludup di Tawau dan menahan dua lelaki yang dipercayai menjadi dalang rangkaian penyeludupan rentas sempadan.

Di Lahad Datu pula, Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 21 individu dan merampas barangan bernilai lebih RM3 juta menerusi 16 serbuan, termasuk kes membabitkan sebuah kereta yang membawa rokok seludup.

Sementara itu, serbuan JKDM di beberapa rumah terbiar di Sibu pada Jun menemukan 490,000 batang rokok bernilai RM1.21 juta.

Joseph berkata, kadar rokok haram di peringkat nasional turut meningkat daripada 54.4 peratus pada 2025 kepada 56.2 peratus pada Mei 2026.

Beliau berkata, tinjauan persepsi pengguna seluruh negara oleh Wawasanex pula mendapati 99 peratus responden menyifatkan rokok haram mudah atau sangat mudah diperoleh, manakala 83.8 peratus mengakui membelinya di kedai runcit dan kedai Aceh.

“Apa yang ditunjukkan oleh angka ini ialah cabaran tersebut terlalu besar untuk ditangani oleh mana-mana agensi secara bersendirian.

“TRADA menyeru semua pihak berkaitan supaya menyediakan anggota penguat kuasa kita dengan sokongan, mekanisme dasar dan sumber maklumat yang diperlukan untuk menamatkan kegiatan ini,” katanya.

Menurutnya, usaha penguatkuasaan perlu disokong dengan dasar dan penyampaian maklumat yang lebih berkesan bagi memastikan tindakan membanteras perdagangan rokok haram dapat dikekalkan.

TRADA turut menyifatkan usaha anggota penguatkuasaan di Sabah dan Sarawak sebagai penting dalam memastikan kedaulatan undang-undang terus ditegakkan, termasuk di kawasan pasaran dan sempadan Malaysia Timur.

Scroll to Top