Trump disambut meriah di Beijing, ketegangan perdagangan belum reda

Trump disambut meriah di Beijing, ketegangan perdagangan belum reda
Trump disambut meriah di Beijing, ketegangan perdagangan belum reda

Presiden China Xi Jinping berjabat tangan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Great Hall of the People, Beijing. – Foto AP

BEIJING – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menerima sambutan penuh istiadat dalam lawatan rasmi beliau ke China pada Khamis, namun beberapa isu sensitif terus membayangi hubungan dua kuasa besar dunia itu.

Presiden China, Xi Jinping menyambut ketibaan Trump di Great Hall of the People dengan kawalan kehormat tentera, tembakan salut 21 das serta persembahan lagu kebangsaan kedua-dua negara.

Kanak-kanak sekolah yang mengibarkan bendera China dan AS turut menyambut ketibaan kedua-dua pemimpin, manakala Trump memuji Xi sebagai “pemimpin hebat” dan menyifatkan hubungan Washington-Beijing bakal menjadi “lebih baik daripada sebelumnya”.

Lawatan itu dianggap signifikan memandangkan Trump sebelum ini sering melontarkan kritikan keras terhadap China, khususnya berkaitan perdagangan, teknologi dan isu pandemik Covid-19.

Walaupun kedua-dua pemimpin menampilkan suasana mesra sepanjang sidang kemuncak tersebut, beberapa isu utama masih belum menemui penyelesaian konkrit.

Xi dilaporkan memberi amaran bahawa isu Taiwan boleh mencetuskan “pertembungan malah konflik” sekiranya tidak dikendalikan dengan berhati-hati, sambil menegaskan Taiwan kekal isu paling sensitif dalam hubungan China-AS.

Dalam masa sama, kedua-dua negara turut membincangkan ketegangan perdagangan yang sebelum ini menyaksikan Washington dan Beijing saling mengenakan tarif tinggi sebelum mencapai gencatan perdagangan sementara.

Konflik Iran dan keselamatan di Selat Hormuz turut menjadi fokus rundingan. Trump berkata, Xi menunjukkan kesediaan membantu meredakan ketegangan di Asia Barat, manakala China dilihat cuba memanfaatkan hubungannya dengan Iran sebagai kelebihan strategik dalam rundingan dengan AS.

Delegasi AS yang mengiringi Trump turut disertai tokoh korporat dan industri teknologi utama Amerika, mencerminkan kepentingan kerjasama ekonomi dalam lawatan tersebut.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pengumuman rasmi mengenai sebarang perjanjian besar dicapai, walaupun terdapat laporan bahawa China mungkin mempertimbangkan pembelian pesawat Boeing dan barangan AS lain.

Xi dan Trump dijangka meneruskan rundingan dalam usaha menstabilkan hubungan kedua-dua negara, ketika Trump memerlukan kejayaan diplomatik di peringkat domestik manakala China pula berusaha mengimbangi kepentingannya dalam persaingan geopolitik global.

 

 

Scroll to Top