PETALING JAYA: Maxis Berhad (Maxis) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM436 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 9.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan itu didorong pertumbuhan hasil perkhidmatan sebanyak 2.2 peratus tahun ke tahun kepada RM2.25 bilion serta pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang meningkat 2.7 peratus kepada RM1.12 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata, prestasi suku kedua mencerminkan pendekatan syarikat yang menggabungkan pertumbuhan hasil yang stabil dengan disiplin operasi bagi meningkatkan keuntungan.
“Kami terus meningkatkan margin melalui pelaksanaan yang berfokus di seluruh perniagaan.
“Berdasarkan prestasi kewangan ini, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 4.0 sen sesaham, sekali gus mengekalkan pembayaran dividen yang konsisten,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, susulan prestasi kewangan separuh pertama yang kukuh, unjuran syarikat bagi tahun penuh kekal tidak berubah dengan hasil perkhidmatan dan EBITDA dijangka mencatat pertumbuhan satu digit rendah, manakala perbelanjaan modal (CAPEX) diunjurkan antara 10 hingga 12 peratus.
“Bagi baki tahun ini, kami akan terus memanfaatkan rangkaian bersepadu bagi menjana nilai kepada pengguna dan menyokong pertumbuhan perniagaan, di samping memacu pertumbuhan jangka panjang yang mampan untuk pemegang saham,” katanya.
Maxis turut mencatatkan aliran tunai bebas operasi sebanyak RM991 juta, disokong pengurusan modal kerja yang berkesan dan memperuntukkan RM171 juta bagi perbelanjaan modal (CAPEX) untuk memperluas serta meningkatkan kapasiti rangkaian.
Beliau berkata, bagi segmen mudah alih pengguna, hasil perkhidmatan meningkat 2.7 peratus tahun ke tahun kepada RM1.58 bilion, disokong pelan pascabayar dan prabayar baharu dengan tawaran data yang dikemas kini.
“Jumlah pelanggan mudah alih meningkat 1.7 peratus kepada 9.98 juta, didorong pertumbuhan pelanggan pascabayar.
“Bagi segmen kediaman pengguna pula, langganan meningkat 3.2 peratus kepada 813,000 susulan tumpuan syarikat terhadap pakej mudah alih dan gentian optik bersepadu.
“Walaupun hasil perkhidmatan susut 0.8 peratus kepada RM252 juta, margin segmen itu meningkat 5.0 peratus.
“Sementara itu, hasil perkhidmatan segmen perusahaan meningkat 2.2 peratus kepada RM416 juta, didorong portfolio penyelesaian tetap dan penyelesaian digital termasuk perkhidmatan terurus serta kesalinghubungan awan,” katanya.
Sepanjang suku kedua, Maxis memperkenalkan portfolio pascabayar Maxis Business yang dipertingkatkan serta memperoleh pembaharuan kontrak selama tiga tahun daripada Telekom Malaysia bagi Rangkaian Teras Berbilang Pengendali (MOCN) 4G dan perkhidmatan perayauan domestik 4G serta 2G.
Maxis turut memperluas Maxis Home Solar dengan pilihan pembelian terus bagi memberi lebih fleksibiliti kepada pelanggan dalam penggunaan tenaga solar.
Dalam usaha memperkukuh kemahiran digital, syarikat meningkatkan Program GenAI Maxis eKelas serta menyokong usahawan Sabah menerusi eKelas Usahawan bagi memperluas akses kepada kemahiran kecerdasan buatan (AI) dan perniagaan digital. – UTUSAN
