JOHOR BAHRU – Faktor usia calon dilihat mampu mempengaruhi kecenderungan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun kebanyakan mereka berpendapat ia bukan penentu utama dalam membuat pilihan.
Sebaliknya aspek integriti, pengalaman, kredibiliti serta keupayaan menyelesaikan masalah rakyat dilihat lebih penting berbanding umur semata-mata.
Pekerja kilang, Muhammad Alif Omar, 32, yang mengundi di DUN Johor Jaya berkata, calon berusia dan mempunyai nama besar dalam parti sememangnya mempunyai kelebihan kerana pengalaman serta pengaruh yang dimiliki.
Namun katanya, calon yang terlalu veteran mungkin mempunyai keterbatasan dari segi tenaga dan kemampuan untuk terus berkhidmat secara aktif kepada masyarakat.
“Pengalaman membolehkan seseorang calon lebih memahami isu-isu tempatan dan berupaya membawa pembangunan serta mencari penyelesaian terhadap masalah rakyat sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.
“Bagaimanapun, parti politik juga perlu melihat semula kesesuaian usia calon yang diketengahkan.
“Parti perlu tampil lebih relevan dengan memberi perhatian kepada isu-isu yang dekat dengan golongan muda, khususnya berkaitan kos sara hidup di Johor yang kini semakin tinggi,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagi pekerja swasta, Rohayah Suradi, 30, yang mengundi di DUN Penawar, usia calon hanya salah satu faktor yang dipertimbangkan pengundi.
Katanya, sebahagian pengundi mungkin lebih cenderung memilih calon berusia kerana mempunyai pengalaman, kematangan serta rekod perkhidmatan yang lebih panjang.
“Tetapi ramai juga terutama golongan muda yang melihat kepada kemampuan calon, idea baharu, keupayaan memahami isu semasa dan cara mereka berkomunikasi dengan rakyat.
“Pada saya, faktor yang lebih penting ialah kredibiliti, prestasi, rekod kepimpinan, keprihatinan terhadap masalah rakyat dan kemampuan membawa perubahan. Usia bukan faktor utama,” jelasnya.
Sementara itu, suri rumah, Nurhidayatul Nazaroh Norazmi, 34, yang mengundi di DUN Johor Jaya berkata, parti perlu membuat penilaian terhadap tahap kesihatan dan kemampuan fizikal calon yang bertanding, khususnya calon yang lebih berusia.
Menurutnya, wakil rakyat perlu sentiasa aktif turun padang bagi menyantuni masyarakat serta menyelesaikan pelbagai isu di kawasan masing-masing.
“Cadangan supaya parti politik menilai semula usia calon adalah langkah yang baik kerana ia dapat mewujudkan keseimbangan antara pengalaman pemimpin veteran dengan tenaga baharu.
“Pendekatan ini juga membolehkan parti menyesuaikan diri dengan demografi pengundi yang semakin dinamik, mengelakkan kelesuan politik serta membawa idea yang lebih segar demi kepentingan rakyat,” ujarnya.
Sementara itu, pekerja swasta, Fitri Ibrahim, 38, berkata, umur bukan indikator utama dalam memilih calon.
“Yang penting calon itu mampu bekerja untuk pengundi. Selain itu, faktor lokaliti juga penting kerana calon tempatan lebih mengenali kawasan dan lebih mudah didekati oleh masyarakat,” katanya.
Seorang lagi pekerja swasta, Aisamuddin Ishak, 36, berkata, usia tua atau muda bukan penentu kemampuan seseorang calon.
“Apa yang lebih penting ialah keupayaan calon berkhidmat kepada rakyat dan menyelesaikan masalah mereka.
“Memang ada pengundi muda yang mahukan calon lebih muda, tetapi akhirnya idea dan gerak kerja calon tetap menjadi pertimbangan utama,” kongsinya.



