Brussels: Bekas pemain tengah Belanda, Mark van Bommel dilaporkan bakal dilantik sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan Belgium.
Menurut akhbar Belgium, Het Laatste Nieuws, Van Bommel dan Persekutuan Bolasepak Belgium (RBFA) sudah mencapai persetujuan, dengan jurulatih berusia 49 tahun itu dijangka menandatangani kontrak dalam tempoh beberapa hari lagi.
Perjanjian itu bakal menyaksikan Van Bommel membimbing skuad Red Devils sehingga tamat Euro 2028.
Selepas bersara sebagai pemain pada 2013, Van Bommel pernah mengendalikan PSV Eindhoven, Wolfsburg dan Antwerp.
Beliau tidak melatih mana-mana pasukan sejak meninggalkan kelab Belgium, Antwerp pada Jun 2024, setahun selepas membantu kelab itu menjulang kejuaraan liga pertama dalam tempoh 66 tahun.
Bekas finalis Piala Dunia 2010 itu dijangka menggantikan Rudi Garcia yang melepaskan jawatan Isnin lalu susulan penyingkiran Belgium di suku akhir Piala Dunia 2026 di tangan juara, Sepanyol.
Media tempatan melaporkan Garcia berdepan perbezaan pendapat dengan beberapa pemain selain pengarah teknikal, Vincent Mannaert yang tidak berpuas hati dengan prestasi Belgium pada peringkat kumpulan.
Bagaimanapun, keputusan Garcia meninggalkan pasukan mengejutkan ramai penyokong yang meluahkan rasa hairan di media sosial.
Menurut Het Laatste Nieuws, RBFA mahu mendapatkan jurulatih yang lebih muda dan moden bagi mengemudi Belgium.
© New Straits Times Press (M) Bhd




