CARACAS: Angka rasmi menunjukkan lebih 6,000 orang maut dalam gempa bumi dahsyat yang melanda Venezuela pada Jun tetapi pihak berkuasa masih berdiam diri mengenai jumlah sebenar mereka yang masih hilang.
Kecuali berlaku keajaiban, mereka yang masih belum ditemui dipercayai turut terkorban, menyebabkan keluarga yang masih mencari orang tersayang di bawah runtuhan terus berada dalam keadaan penuh ketidakpastian dan harapan yang tipis.
Laporan kerajaan terkini yang diterbitkan pada Isnin menyenaraikan 6,125 kematian dan 60,992 orang menerima rawatan perubatan.
Ia turut merekodkan 43,679 isi rumah terjejas serta 346,755 tan runtuhan yang telah dibersihkan.
Namun, pihak berkuasa masih tidak memberikan sebarang maklumat mengenai jumlah orang yang hilang sejak dua gegaran gempa melanda pada 24 Jun.
Sementara itu, berpuluh-puluh sukarelawan terus menggali runtuhan bangunan yang runtuh di kawasan pantai Caraballeda, seperti yang dilakukan di beberapa kawasan lain di negeri La Guaira yang paling teruk terjejas.
“Kami akan teruskan usaha ini. Dia ialah cucu saya,” kata Victor Morales sambil menangis, yang masih mencari cucu lelakinya berusia 11 tahun.
Morales sebelum ini telah menemui mayat cucu perempuannya yang berusia 13 tahun dari celah runtuhan.
“Kami berada di sini sejak hari pertama, menggali lubang sehingga ke dasar bangunan,” kata tukang kayu berusia 50 tahun itu kepada AFP.
“Sehingga saya menemuinya, saya tidak akan berhenti,” tambahnya.
Gempa bumi itu masing-masing bermagnitud 7.2 dan 7.5 memusnahkan ratusan bangunan, terutama di negeri La Guaira di pesisir utara negara itu yang paling teruk terjejas. – AGENSI




