[VIDEO] Juruterbang Malaysia ditahan: Kerajaan arah tutup segera kelompangan di lapangan terbang

[VIDEO] Juruterbang Malaysia ditahan: Kerajaan arah tutup segera kelompangan di lapangan terbang

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kerajaan mengarahkan semua kelompangan dalam sistem keselamatan penerbangan negara dikenal pasti dan ditutup segera susulan insiden penahanan penolong juruterbang Malaysia Airlines (MAS) di Jakarta, bagi mengelakkan kelemahan sedia ada terus dieksploitasi kegiatan jenayah.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri menerima taklimat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan mengenai insiden berkenaan dalam mesyuarat Kabinet.

Menurutnya, langkah tersebut merupakan penambahbaikan segera segera bagi memperkukuh kawalan keselamatan di lapangan terbang serta sistem saringan terhadap kru penerbangan.

“Pertama, yang melibatkan aviation security, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu ditempatkan kerana pada waktu ini pasukan yang menguruskan adalah daripada kalangan polis bantuan.

“Malaysia Airlines Group (MAG) juga akan diminta menyemak semula protokol saringan latar belakang dan juga saringan kesihatan bagi juruterbang serta pembantu juruterbang selepas mengambil kira insiden yang telah berlaku,” katanya pada sidang akhbar mingguan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini pada Rabu.

Media sebelum ini melaporkan seorang penolong juruterbang MAS ditahan pihak berkuasa Indonesia di Jakarta selepas disyaki terbabit dalam cubaan menyeludup dadah. Kes berkenaan kini masih dalam siasatan pihak berkuasa Indonesia.

Fahmi Fadzil. Foto fail Bernama

Fahmi Fadzil. Foto fail Bernama

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerajaan masih menunggu laporan penuh berhubung kes tersebut sebelum memutuskan tindakan susulan yang lebih menyeluruh.

“Kita baru menerima laporan lisan daripada Menteri Pengangkutan dan Menteri Dalam Negeri. Memandangkan kes di Indonesia itu masih aktif, kita perlukan sedikit masa untuk meneliti laporan penuh sebelum mempertimbangkan tindakan susulan selain langkah-langkah yang telah diumumkan,” jelas Menteri Komunikasi itu.

Menurutnya, kerajaan juga mahu mengenal pasti sama ada terdapat pihak lain yang mungkin terbabit dalam kes tersebut sebelum tindakan lanjut diambil.

“Kita perlu tahu siapa lagi yang kemungkinan terlibat. Mereka yang terlibat perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan beberapa tindakan menyeluruh perlu kita ambil untuk memastikan kelompangan dapat ditutup dengan segera, tetapi kita perlukan maklumat serta laporan penuh terlebih dahulu,” ujar beliau.

Scroll to Top