KUALA TERENGGANU – Pas terbuka berbincang dengan Barisan Nasional (BN) berhubung kedudukan lima daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang kini bukan disandang oleh wakil parti itu.Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara tersebut boleh dirundingkan antara Perikatan Nasional (PN) dan BN bagi menentukan kedudukan masing-masing dalam kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).Menurutnya, berdasarkan formula kerjasama yang dilaksanakan di Melaka sebelum ini, pendekatan tersebut bermula dengan mengekalkan status quo dan prinsip sama wajar diterima pakai demi keadilan semua pihak.”Semua sedia maklum kerusi DUN Terengganu ada 32 dan hanya lima kerusi yang bukan daripada Pas. Ruang lain saya rasa tidak ada.”Jadi, ini antara perbincangan antara PN dan BN untuk menentukan bagaimana kedudukan lima kerusi ini boleh dibincangkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membentangkan Belanjawan 2027 pada Persidangan DUN Terengganu di Wisma Darul Iman di sini pada Isnin.Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu 2023, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah memenangi sebanyak lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada keseluruhan 32 kerusi di Terengganu di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN).Lima kerusi berkenaan melibatkan DUN Hulu Besut, Permaisuri, Seberang Takir, Telemong dan Kijal.Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama antara kedua-dua parti, Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi PN menjelaskan bahawa kesepakatan yang dimulakan di Johor, diikuti Negeri Sembilan dan terbaharu di Melaka merupakan batu asas bagi membina persefahaman lebih besar untuk PRU16.Bagaimanapun, katanya, perbincangan khusus bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu mahupun Perak masih belum dimulakan kerana kedua-dua pihak perlu menyelesaikan gerak kerja secara berperingkat.”Buat masa ini kita selesaikan satu per satu. Selesai Melaka, Alhamdulillah semuanya baik. Kita bentuk kerajaan dan lihat bagaimana kita boleh menyumbang kepada pembinaan kerajaan negeri Melaka.”Apabila keadaan sudah agak stabil, barulah kita akan meneruskan siri-siri perbincangan yang berikutnya,” ujarnya.Kerjasama politik antara BN dan PN sebelum ini telah melakar kejayaan apabila mencatatkan hatrik kemenangan berturut-turut dalam tiga siri PRN sepanjang tahun ini iaitu di Johor pada Julai, Negeri Sembilan pada Ogos, dan Melaka pada November.
[VIDEO] PRU16: Pas sedia runding kerusi dengan BN di Terengganu
Malay News | https://www.malay.news/video-pru16-pas-sedia-runding-kerusi-dengan-bn-di-terengganu/