am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Walaupun hanya ‘melawat’ Masjid Al-Aqsa secara maya namun ia menjadi pengalaman paling menyeronokkan dan sayu malah membuatkan semangat untuk menjejakkan kaki ke tempat suci semakin membara,” kata Sumayyah Abu Dzar, 18.
Dia berkongsi pengalamannya ‘mengembara’ ke kompleks Masjid Al-Aqsa dengan memanfaatkan teknologi Realiti Maya (VR) melalui Program Labbaika Ya Aqsa pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, tadi.
Program itu hasil inisiatif Yayasan MyAQSA (MyAQSA) yang dilakukan secara percuma sekali gus sempena Israk Mikraj dan ia turut menjadi tumpuan pada PAU kali ini.
Sumayyah berkata, dia tidak pernah menjejakkan kaki ke Masjid Al-Aqsa dan mengakui tempat bersejarah itu antara lokasi impiannya untuk dikunjungi serta mengakui teruja apabila mendapat tahu ia berpeluang ‘merealisasikan’ impian itu dengan teknologi VR.
“Saya teruja dan sebak melihat kompleks Masjid Al-Aqsa biarpun hanya secara maya saja. Sebelum ini memang pernah melihat video masjid berkenaan di media sosial namun pengalaman melihatnya dengan VR membuatkan saya seolah-olah berada di lokasi.
“Seni bina dan reka bentuk masjid serta kubahnya sangat cantik dan unik membuatkan saya teruja. Sepanjang ‘pengembaraan’ itu juga kita diberikan penerangan dan sejarah mengenainya yang juga menambah pengetahuan saya.
“Saya mengenali Masjid Al-Aqsa sejak kecil melalui cerita dan media sosial tetapi kali ini seperti berada di sana, saya berharap satu hari nanti dapat menjejakkan kaki ke sana. Program ini menyemarakan lagi rasa sayang kepada Masjid Al-Aqsa,” katanya.
Bagi Saiful Adli Sulaiman, 52, program itu memberi peluang kepadanya melihat Masjid Al-Aqsa dengan lebih dekat secara maya sepanjang hampir tujuh minit pengembaraan melalui VR.
Masjid Al-Aqsa dimuliakan sebagai tempat perantara perjalanan Israk Mikraj dan ia menjadi lokasi dan peristiwa penting kepada umat Islam sekali gus membuatkan ia wajib dipertahankan dan dijaga dengan sebaiknya.
“Saya terharu dan bangga melihat masjid berkenaan yang cuba dipertahankan saudara kita di Palestin, malah saya juga terharu dengan masyarakat di negara kita yang menyokong perjuangan Palestin. Perjalanan maya itu turut diselitkan penerangan yang memberikan lebih banyak pengetahuan kepada saya,” katanya.
Sementara itu, IT Eksekutif Teknologi Maklumat (IT) MyAQSA, Azhar Kasiran berkata, program Labbaika Ya Aqsa adalah inisiatif pihaknya memberikan pendedahan kepada masyarakat bagi mengenali Masjid Al-Aqsa dengan lebih dekat dan tepat.
Menerusi program ini, masyarakat akan diberikan penerangan khusus mengenai sejarah, fakta dan realiti Masjidil Aqsa serta berpeluang untuk merasai pengalaman pengembaraan ke Masjid Al-Aqsa secara maya menggunakan teknologi VR.
“Ada tiga peralatan VR disediakan untuk orang ramai mengambil peluang merasai ‘pengembaraan’ ke Masjid Al-Aqsa. Video itu juga saya ambil sendiri dengan akan ‘melawat’ dua daripada lima masjid dalam kompleks ity iaitu Masjid Qibli dan Kubah al-Sakhrah.
“Sambutan menggalakkan dan kita tahu tidak semua berpeluang ke Masjid Al-Aqsa (terutama dalam situasi tegang ketika ini), jadi kita membawa peluang itu secara maya. Penerangan diberikan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Arab, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
“Dianggarkan lebih 200 orang sudah mengambil peluang ‘melawat’ Masjid Al-Aqsa sepanjang tiga hari dengan esok adalah hari terakhir.
Pengembaraan itu mengambil masa enam hingga tujuh minit dan kami gembira dapat berkongsi pengalaman,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




