Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar pembatalan pelantikan mereka sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang dibuat pada 24 September lalu.
Fail saman pemula kepada Setiausaha Kerajaan Negeri & Kerajaan Negeri
Mereka terdiri daripada Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.
Kesemua plaintif memfailkan Saman Pemula terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan sebagai defendan.

Saman berkenaan difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak pada 5 Oktober lalu.
Antara perkara yang dipersoalkan ialah sama ada pelantikan EXCO, selain Menteri Besar, boleh dibatalkan melalui penarikan balik perkenan Yang di-Pertuan Besar secara bersendirian tanpa nasihat Menteri Besar.
Dalam permohonan itu, mereka turut memohon supaya Mahkamah Tinggi mengisytiharkan pembatalan pelantikan yang diwartakan dalam Warta Kerajaan Negeri Sembilan N.S. P.U. 18 bertarikh 24 September 2026 sebagai batal, tidak sah dan tidak berkuat kuasa terhadap mereka.
Kesemua plaintif turut memohon supaya persoalan perlembagaan berkaitan kuasa membatalkan pelantikan EXCO berkenaan diputuskan oleh mahkamah.
Tindakan tersebut kini meletakkan persoalan mengenai kesahan pembatalan pelantikan 10 EXCO berkenaan untuk diputuskan melalui proses mahkamah.
Sumber: Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak




