10 negara tampung separuh pelarian dunia

10 negara tampung separuh pelarian dunia

Krisis pelarian dunia bukan sekadar isu negara yang berdepan konflik, malah turut menjadi cabaran besar kepada negara jiran yang terpaksa menerima jutaan individu mereka yang terpaksa berpindah.

Laporan Amnesty International bertajuk Tackling the Global Refugee Crisis: From Shirking to Sharing Responsibility yang diterbitkan pada 2016 mendapati hanya 10 daripada 193 negara ketika ini menempatkan lebih separuh daripada pelarian dunia.

Menurut laporan berkenaan, 10 negara tersebut menampung sekitar 56 peratus daripada kira-kira 21 juta pelarian dunia, sedangkan keseluruhan negara terbabit menyumbang kurang daripada 2.5 peratus kepada ekonomi global.

Amnesty turut menegaskan bahawa sebahagian besar pelarian dunia ketika itu ditempatkan di negara berpendapatan rendah dan sederhana, bukannya negara-negara terkaya.

10 negara tampung separuh pelarian dunia

Khemah sementara yang biasanya disediakan negara tuan rumah buat golongan pelarian. Foto: Agensi

Kongsi tanggungjawab

Setiausaha Agung badan hak asasi berkenaan pada masa itu, Salil Shetty berkata, sebahagian negara jiran menanggung beban tidak seimbang dalam krisis pelarian kerana kedudukannya yang berhampiran dengan negara bergolak.

Menurut beliau, keadaan itu tidak mampan kerana jutaan individu yang melarikan diri daripada peperangan dan penganiayaan terpaksa hidup dalam keadaan serba kekurangan.

Amnesty menggesa negara-negara di dunia supaya berkongsi tanggungjawab dengan lebih adil melalui program penempatan semula dan laluan selamat bagi pelarian.

Badan itu mencadangkan negara-negara dunia, khususnya negara kaya, mengambil bahagian lebih besar dalam penempatan semula pelarian.

Kumpulan migran sanggup menempuh laluan laut yang berbahaya ke negara Eropah demi memulakan kehidupan baharu. Foto: Agensi

Kumpulan migran sanggup menempuh laluan laut yang berbahaya ke negara Eropah demi memulakan kehidupan baharu. Foto: Agensi

Ketika itu, Amnesty mencadangkan sasaran penempatan semula sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah pelarian dunia setiap tahun.

Amnesty turut menegaskan bahawa sekitar 86 peratus pelarian berada di negara berpendapatan rendah dan sederhana, sekali gus memberi tekanan besar kepada negara tuan rumah dari segi ekonomi, kemudahan awam serta penyediaan perkhidmatan asas.

Berikut ialah 10 negara yang dikenal pasti dalam laporan berkenaan:

1. Jordan – Lebih 2.7 juta

2. Turkiye – Lebih 2.5 juta

3. Pakistan – 1.6 juta

4. Lubnan– Lebih 1.5 juta

5. Iran – 979,400

6. Ethiopia – 736,100

7. Kenya – 553,900

8. Uganda – 477,200

9. Republik Demokratik Congo – 383,100

10. Chad – 369,500

 

Scroll to Top