LATEST

118 tan sampah dikutip sempena Hari Pembersihan Dunia 2026

118 tan sampah dikutip sempena Hari Pembersihan Dunia 2026

PETALING JAYA: Sebanyak 118 tan sisa sampah berjaya dikutip menerusi Program Yong Peng Clean Up Month sempena sambutan Hari Pembersihan Sedunia 2026, dengan melibatkan penyertaan lebih 1,000 peserta.

Yang Dipertua Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) Dr. Mohd Azlan Ab. Jalil dalam satu kenyataan berkata, program anjuran MDYP itu merupakan sebahagian daripada Kempen Yong Peng Bersih, Sihat dan Selamat bagi memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan serta kelestarian alam sekitar.

Baca juga: Kenderaan maritim terbabas, tiada OKT terlepas

Katanya,pelbagai aktiviti pembersihan diadakan dalam program tersebut dengan tertumpu di kawasan Parit Ah Hock dan sekitar Pekan Yong Peng.

“Amalan menjaga kebersihan dan aktiviti gotong-royong perlu dijadikan budaya dalam kehidupan seharian dan bukan hanya dilaksanakan secara bermusim atau ketika program tertentu dianjurkan.

“Usaha memelihara kebersihan persekitaran bukan hanya menjadi tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) atau agensi kerajaan, sebaliknya memerlukan komitmen dan penglibatan aktif seluruh lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Majlis perasmian program disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon.

Dalam pada itu Mohd Azlan berkata, program Yong Peng Clean Up dan Program Johor Bersih telah dipergiat secara berjadual setiap Isnin dan Sabtu sepanjang September dan Oktober lalu.

Katanya, inisiatif itu meliputi kawasan pentadbiran MDYP termasuk pekan Yong Peng, Ayer Hitam, Parit Sulong, Sri Medan dan Parit Yaani dengan penglibatan Ahli-Ahli Majlis, jabatan berkaitan, agensi kerajaan, pertubuhan serta komuniti setempat.

“Pendekatan bersepadu itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembersihan kawasan awam, sistem perparitan dan lokasi tumpuan masyarakat, malah turut menekankan aspek pendidikan, kesedaran sivik serta pembentukan sikap prihatin terhadap alam sekitar.

“Kejayaan mengutip 118 tan sisa dengan penyertaan lebih 1,000 peserta membuktikan keberkesanan kerjasama antara PBT dan masyarakat dalam mewujudkan persekitaran lebih bersih, sihat dan selamat,” jelasnya.

Kata Mohd. Azlan lagi, MDYP akan terus memperluas pelaksanaan program kebersihan secara berterusan selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Johor untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan perbandaran serta kesejahteraan penduduk. – UTUSAN

The post 118 tan sampah dikutip sempena Hari Pembersihan Dunia 2026 appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news