25 negeri AS saman pentadbiran Trump berhubung tarif global didakwa tidak sah

25 negeri AS saman pentadbiran Trump berhubung tarif global didakwa tidak sah

ISTANBUL – Gabungan 25 negeri dan wilayah berstatus komanwel di Amerika Syarikat (AS) pada Isnin memfailkan saman di Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS bagi menghalang usaha terbaharu pentadbiran Presiden Donald Trump mengenakan tarif global secara menyeluruh antara 10 hingga 12.5 peratus, lapor Anadolu Ajansi.

Saman itu mendakwa Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) menggunakan siasatan berkaitan buruh paksa di peringkat global sebagai alasan dan samaran undang-undang untuk mengenakan semula sekatan perdagangan yang sebelum ini dibatalkan oleh mahkamah persekutuan.

Plaintif berhujah bahawa USTR menjalankan siasatan secara tergesa-gesa terhadap 60 ekonomi dalam tempoh hanya dua bulan setengah, sedangkan proses itu lazimnya mengambil masa lebih setahun.

Mereka turut mendakwa pentadbiran berkenaan telah menetapkan keputusan siasatan lebih awal, memandangkan tarif itu dikenakan secara sama rata terhadap bahan mentah dan barangan siap tanpa mengambil kira tahap penggunaan buruh paksa dalam pasaran tertentu.

“Tidak kira bagaimana pentadbiran cuba mewajarkannya, menurut undang-undang dan Perlembagaan kita jelas bahawa presiden tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan tarif secara menyeluruh terhadap mana-mana negara yang dipilihnya,” kata Peguam Negara New York Letitia James dalam satu kenyataan.

Negeri-negeri terbabit mendakwa cabang eksekutif cuba merampas kuasa percukaian Kongres secara tidak berperlembagaan, dengan menegaskan bahawa keseluruhan kuasa mengenakan cukai terletak pada Kongres.

Mereka turut mendakwa pentadbiran itu melanggar Akta Tatacara Pentadbiran.

Saman itu memohon mahkamah mengisytiharkan tarif berkenaan sebagai tidak sah dan membatalkannya.

Negeri yang menyertai gabungan itu ialah Oregon, Arizona, California, Colorado, Connecticut, Delaware, Hawaii, Illinois, Kentucky, Maine, Maryland, Massachusetts, Michigan, Minnesota, Nevada, New Jersey, New Mexico, New York, North Carolina, Pennsylvania, Rhode Island, Vermont, Virginia, Washington dan Wisconsin.

Rumah Putih menolak cabaran undang-undang itu dengan menegaskan bahawa pentadbiran bertindak dalam lingkungan kuasa yang diperuntukkan undang-undang.

“Amerika Syarikat menggunakan kuasa yang sah untuk menghapuskan tindakan, dasar dan amalan tidak munasabah yang membebankan perdagangan AS,” kata jurucakap Rumah Putih Kush Desai dalam satu kenyataan, menurut laporan CNBC.

Beliau berkata, kegagalan negara asing menguatkuasakan piawaian buruh secara langsung menjejaskan pekerja AS dan perlu ditangani.

Desai menegaskan bahawa tarif di bawah Seksyen 301 digunakan sebagai “instrumen yang kukuh dari segi undang-undang” sejak penggal pertama Trump dan kekal sebagai salah satu mekanisme dasar perdagangan. – Bernama

Scroll to Top