am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Tiga wanita Vietnam masing-masing didenda RM2,000 dan RM500 seorang selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan terbabit dalam aktiviti persundalan dan melanggar syarat pas lawatan sosial sementara.
Tertuduh Pham Thi Thao Van, 22, berhadapan dua pertuduhan manakala Dang Thi Dien, 22, dan Chao Thi Van, 22, satu pertuduhan, mengaku bersalah di Majistret Mustaqim Sukarno.
Pham Thi kemudian dijatuhi hukuman denda RM2,000 manakala Dang Thi dan Chao Thi didenda RM500 seorang.
Mereka juga boleh dikenakan penjara satu dan empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda. Kesemua tertuduh membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, Pham Thi didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di sebuah hotel di sebuah hotel, Jalan Bakau Chondong, di sini, 2 petang, 15 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Selain itu, Pham Thi, Dang Thi dan Chao Thi juga didakwa melanggar syarat pas lawatan sosial untuk menjalankan aktiviti persundalan dengan kesemua kesalahan itu dilakukan pada tarikh, waktu dan lokasi sama.
Bagi kesalahan ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, yang boleh dipenjara tidak melebihi enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shazleen Ibrahim manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan.
Berdasarkan fakta kes, polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat membuat serbuan ke atas sebuah hotel kerana didakwa menjadi lokasi persundalan.
Dalam serbuan itu, polis mendapati mereka terbabit dalam kegiatan itu dengan menggunakan pas lawatan sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd




