Rohingya dibenar bekerja? Kerajaan sedia teliti cadangan, tapi perlu kajian menyeluruh

Rohingya dibenar bekerja? Kerajaan sedia teliti cadangan, tapi perlu kajian menyeluruh

Kerajaan terbuka untuk meneliti cadangan membenarkan pelarian politik Rohingya bekerja secara sah di Malaysia, namun sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas kajian menyeluruh dilaksanakan.

Cadangan perlu dinilai daripada pelbagai sudut

Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan menyatakan cadangan itu perlu dinilai daripada pelbagai sudut termasuk dasar kerajaan, keperluan tenaga kerja serta aspek keselamatan negara.

Menurut beliau, perkara berkenaan akan dibincangkan secara bersama antara Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Ini satu pendapat yang boleh membawa kebaikan ataupun perlu ada kajian secara mendalam.

“Saya percaya perkara ini akan dibincangkan bersama dengan Kementerian Sumber Manusia dan juga Kementerian Dalam Negeri. Sebarang perkembangan kita akan maklumkan dari semasa ke semasa.

“Terima kasih di atas satu cadangan yang mempunyai asas untuk kita melakukan kajian,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang mencadangkan kerajaan mempertimbangkan kebenaran bekerja kepada lebih 215,000 pelarian politik Rohingya di Malaysia.

Menurut Hassan, langkah tersebut mampu membantu golongan berkenaan menjana pendapatan sendiri sekali gus mengurangkan risiko anak-anak muda Rohingya terlibat dalam kegiatan jenayah.

Beliau turut mengambil contoh pendekatan yang pernah dilaksanakan di Jerman apabila pelarian Syria dibenarkan bekerja atas faktor kemanusiaan ketika negara itu berdepan krisis perang.

“Saya mencadangkan Kementerian Sumber Manusia mengemukakan perkara ini kepada Kabinet supaya pelarian Rohingya ini dibenarkan bekerja, sama ada lelaki atau perempuan, supaya mereka dapat pendapatan.
“Jadi anak-anak muda mereka tidak perlulah terlibat dalam jenayah. Kita boleh mengambil contoh Jerman yang membenarkan pelarian Syria bekerja ketika krisis perang di negara itu,” katanya.

Sebelum ini, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) turut menyatakan kesediaan menawarkan peluang pekerjaan kepada pelarian Rohingya yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), khususnya dalam sektor 3D iaitu kotor, berbahaya dan sukar yang kini berdepan kekurangan tenaga kerja.

Walau bagaimanapun, cadangan tersebut masih memerlukan penelitian lanjut sebelum sebarang dasar baharu diputuskan kerajaan.

Scroll to Top