KOTA BHARU: Suami Allahyarham Dr. Ainul Baraah Kamarudin, Muhammad Faiz Abdul Malik reda dengan pemergian isterinya yang maut dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Miri, Sarawak, Selasa lalu.
Bagaimanapun katanya, perasaan sedih datang silih berganti dan ada ketika dia mampu bertenang sebelum kesedihan itu hadir semula.
“Kadangkala kita boleh biasa, tenang. Tetapi bila ia datang, sekali-sekala tu tak boleh tahan,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Al-Karomah, di sini hari ini.
Muhammad Faiz merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri Sarawak dan Kelantan yang banyak membantu sepanjang proses pengurusan jenazah isterinya.
Katanya, dia turut berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk rakan-rakan dan petugas media yang tidak putus-putus memberikan sokongan serta mendoakan Allahyarham isterinya.
“Saya tak ada nak cakap apa. Takdir sudah terjadi. Tetapi Alhamdulillah, perjalanan dipermudah. Saya dapat sokongan dan doa daripada semua kawan-kawan yang kenal mahupun yang tidak kenal.
“Ini satu rezekilah untuk arwah isteri saya juga sebab mendapat doa dan sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.
Mengenai proses pengurusan jenazah di Sarawak, Muhammad Faiz berkata, semuanya berjalan lancar terutama melibatkan forensik dan sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) meskipun mengambil masa.
Bagaimanapun, katanya, segala urusan akhirnya dapat diselesaikan lebih awal daripada jangkaan.
Jenazah Allahyarham Ainul Baraah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper, Kampung Baung di sini kira-kira pukul 2.20 petang ini.
Sebelum itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mengimamkan solat jenazah selepas solat zuhur di Masjid Al-Karomah, Kampung Baung di sini bersama lebih 1,000 jemaah.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, sebuah helikopter membawa lima penumpang termasuk juruterbang dilaporkan terhempas di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang.
Kelima-lima mangsa ialah juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; Dr. Ainul Baraah, Penolong Pegawai Perubatan, Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44. – UTUSAN
