yusri.muzamir@bh.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan audit forensik perlu dibuat bagi mengenal pasti dalang yang mengakibatkan FELDA menanggung kerugian hampir RM10 bilion.
Timbalan Perdana Menteri berkata, tanggungjawab melaksanakan perkara itu terletak pada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, biarpun bekas Pengerusi FELDA sudahpun menjalani hukuman.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ini bagi membolehkan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya jika terbukti wujud unsur salah guna kuasa, pecah amanah atau salah tadbir urus.
Bagaimanapun, katanya, siasatan terbabit tidak boleh dijadikan alat untuk bertindak zalim, menganiaya atau memalukan mana-mana pihak, seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
“FELDA berdepan masalah begitu besar dan berlarutan. Kita tak boleh bertolak ansur dengan umlah kerugian terbabit.
“Tanggungjawab melakukan siasatan diambil Anwar dan yang penting bukan hanya ‘management auditing’ (audit pengurusan) tetapi ‘forensic auditing’ (audit forensik) juga mesti dilakukan.
“Tentunya pihak bertanggungjawab harus dibawa ke muka pengadilan, jika didapati ada bukti kukuh tetapi jangan lakukan penganiayaan atau kezaliman untuk memalukan mana-mana individu seperti yang pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Dunia (WITEX) serta Festival Seni dan Kebudayaan Dunia di sini hari ini.
Kelmarin, Anwar dilaporkan berkata, akan menunggu laporan lengkap Pasukan Petugas Khas yang menyiasat isu pengurusan FELDA sebelum membuat sebarang pengumuman rasmi.
Pasukan terbabit, katanya, sudah memulakan tugas dan dapatan siasatan dijangka dibentangkan dalam tempoh terdekat, selain laporannya akan didedahkan kepada umum, sejurus dimuktamadkan kelak.
Sebelum ini, media memaklumkan bahawa laporan Pasukan Petugas Khas berkaitan FELDA dijangka siap dalam tempoh beberapa bulan lagi sebelum didedahkan kepada umum.
Ahmad Zahid berkata, siasatan menyeluruh ke atas FELDA perlu dilakukan bagi memastikan peneroka dan generasi FELDA mendapat pembelaan sewajarnya.
“Seramai 225,000 peneroka dan tidak kurang 1.8 juta generasi FELDA terbabit yang kini sudah memasuki generasi kelima secara langsung atau tidak dalam isu ini.
“Justeru, kerajaan mesti santuni (isu membelenggu FELDA) supaya kepentingan mereka terus dipertahankan sewajarnya,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk.
© New Straits Times Press (M) Bhd




