yusri.muzamir@bh.com.my
Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak orang ramai meletakkan kepercayaan kepada gelombang biru untuk menerajui pentadbiran negara.
Beliau berkata, ini selari aspirasi yang meletakkan asas pembentukan kepemimpinan negara berlandaskan kepada kepercayaan.
“Tanggungjawab kita kini adalah untuk menterjemahkan kepercayaan kepada perkongsian lebih kukuh – kepercayaan kepada undi, kepercayaan kepada ‘gelombang biru’… gelombang baharu yang sedang berlaku di Malaysia, insya-Allah.
“Peluang yang lebih besar dan kemakmuran yang dikongsi bersama. Faham tak apa, tak faham tak apa,” katanya dalam nada berseloroh ketika merasmikan Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Dunia (WITEX) serta Festival Seni dan Kebudayaan Dunia di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Penaja WITEX 2026, Datuk Seri Dr Mohd Khalid Harun dan Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.
Pada 1 Ogos lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, mandat dan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan turut membawa gelombang untuk meneruskan gelombang biru dan biru pekat yang sudah bermula di Johor.
Beliau antara lain memberi jaminan gelombang sama akan terus menular ke PRN Melaka.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, WITEX sebagai platform menghubungkan pasaran, mewujudkan peluang dan membentuk masa depan ekonomi pelancongan Muslim global.
“Percayalah, fasa seterusnya bagi ekonomi pelancongan Muslim tidak akan hanya ditentukan negara memiliki destinasi paling menarik.
“Sebaliknya, ia akan dibentuk pihak yang mampu membangunkan ekosistem paling kukuh dan menyeluruh untuk memenuhi keperluan pelancong. Persaingan sudah pun berubah.
“Pelancong kini membuat keputusan menyeluruh sebelum memutuskan destinasi pelancongan, termasuk membuat perbandingan di platform digital, membuat perbandingan dan semakin bergantung kepada kecerdasan buatan.
“Mereka juga mengharapkan perkhidmatan yang disesuaikan dengan keperluan peribadi, kelancaran dan akses mudah sepanjang percutian,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd

