AMH kemuka lima agenda teras kepada Kerajaan Madani

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Harapan (AMH) mendesak Kerajaan Madani melaksanakan lima agenda teras membabitkan isu subsidi, tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta kerjasama politik Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Tuntutan itu turut meliputi reformasi Akta Perhimpunan Aman serta keutamaan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi pelajar cemerlang.

Dalam kenyataan bersama, Ketua AMH, Woo Kah Leong; Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, Muhammad Kamil Abdul Munim dan Ketua Pemuda Parti Amanah Nasional, Senator Hasbie Muda berkata, lima agenda itu dipersetujui menerusi persidangan AMH yang berlangsung pada Isnin.

Mereka berkata, agenda pertama ialah menaikkan semula had kelayakan bantuan BUDI95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan, khusus bagi membantu rakyat yang bergantung kepada kenderaan persendirian untuk bekerja, berniaga dan menguruskan keluarga.

Pada masa sama, AMH mendesak supaya mekanisme BUDI Madani Diesel diselaraskan dan dinilai semula bagi memastikan pelaksanaannya lebih adil, mudah difahami serta menepati kumpulan sasaran tanpa mengabaikan mana-mana pihak akibat kelemahan pendaftaran atau penetapan kelayakan.

“Bagi agenda kedua, AMH menuntut tindakan tegas dan telus terhadap sebarang dakwaan skandal, salah guna kuasa, penyelewengan atau konflik kepentingan membabitkan GLC, syarikat milik kerajaan atau mana-mana entiti awam.

“Rakyat tidak mahu mendengar sekadar kenyataan bahawa sesuatu isu sedang ‘diperhatikan’ atau ‘dalam siasatan’. Wang rakyat mesti dipertahankan tanpa kira siapa yang terlibat, siapa di belakangnya atau apa pun kedudukan politik mereka,” kata mereka dalam kenyataan pada Selasa.

AMH turut menggesa supaya slogan reformasi dilaksanakan secara adil dan tidak menjadi ‘lunak’ apabila membabitkan individu atau kelompok yang mempunyai hubungan dengan kerajaan, selain memperkukuh tadbir urus GLC melalui ketelusan kontrak, perolehan kompetitif dan pengisytiharan konflik kepentingan.

“Bagi agenda ketiga, AMH berpandangan perkembangan politik semasa menuntut PH menilai semula bentuk, mekanisme dan masa depan kerjasama politik bersama BN,” kata mereka.

Menurut mereka, kerjasama politik tidak boleh dibina hanya berasaskan perkiraan angka, sebaliknya perlu didasari kepercayaan, rasa hormat dan komitmen terhadap prinsip bersama.

Sehubungan itu, ruang perlu diberikan kepada PH di semua negeri untuk menyatakan pandangan dan menilai semula dinamika kerjasama berkenaan supaya PH tidak dilihat menjadi “pendinding” kepada isu lampau BN yang boleh menjejaskan imej PH sendiri.

“Bagi agenda keempat, AMH menyeru Kerajaan Madani terus memperkukuh reformasi terhadap Akta Perhimpunan Aman supaya benar-benar mencerminkan semangat demokrasi matang,” menurut mereka.

Mereka berkata, ukuran penting kejayaan Era Madani ialah sejauh mana kerajaan mampu memperkukuh ruang demokrasi dan kebebasan rakyat untuk bersuara, mengkritik, berhimpun secara aman serta menuntut perubahan tanpa rasa takut.

Sementara itu, bagi agenda kelima, AMH mencadangkan pelajar STPM yang memperoleh keputusan CGPA 4.0 serta pelajar STAM dengan keputusan Mumtaz diberikan keutamaan khas dalam proses pemilihan ke IPTA.

“Cadangan itu merangkumi peluang mengemukakan tiga pilihan utama IPTA dengan pertimbangan keutamaan tempat, tertakluk kepada syarat program, kapasiti dan keperluan bidang pengajian,” kata mereka.

AMH turut mahu kecemerlangan dalam aliran pendidikan Islam diberikan pengiktirafan sewajarnya.

Mereka berkata, kelima-lima perkara itu berpaksikan kehendak rakyat yang mahukan tindakan nyata, harga dan subsidi yang adil, perlindungan wang awam, penguatkuasaan tanpa pilih bulu serta politik berasaskan prinsip.

“Kerajaan Madani masih mempunyai ruang yang luas untuk memperkukuh mandatnya sekiranya bertindak mengikut aspirasi berkenaan,” kata mereka.

 

 

 

 

Scroll to Top