Amira Aisya umum tidak bertanding PRN Johor, fokus kerusi Parlimen pada PRU

Amira Aisya umum tidak bertanding PRN Johor, fokus kerusi Parlimen pada PRU

JOHOR BAHRU: Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd. Aziz mengumumkan untuk tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Sebaliknya, Amira Aisya mengumumkan beliau akan memberi tumpuan penuh untuk bertanding kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Selepas empat tahun berkhidmat di sini, saya dapati ada banyak isu yang berada dalam bidang kuasa peringkat Parlimen antara isu hospital, pendidikan dan lain-lain.

“Hospital Sultan Ismail di sini sentiasa tidak cukup katil, sekolah juga tidak mencukupi dan semakin padat, semua isu berkenaan merupakan bidang kuasa peringkat pusat. Sehubungan itu saya telah suarakan hasrat untuk bertanding di Parlimen,” katanya ketika berucap pada majlis memperkenalkan calon Muda di Camelia Event Space, di sini hari ini.

Tambah penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa itu, hasrat itu selari dengan tujuan penubuhan Muda iaitu untuk mengangkat suara penduduk akar umbi ke peringkat tertinggi.

“Sudah tentu Puteri Wangsa ada nilai tersendiri buat kami, tetapi saya lahir di kawasan Majidee, jadi seluruh Johor Bahru adalah kawasan permainan saya.

“Mana kerusi Parlimen yang akan saya tandingi akan diputuskan kelak tetapi fokus adalah di daerah Johor Bahru,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top