am@hmetro.com.my
Pasir Puteh: Seorang anggota polis maut dalam kejadian kemalangan di KM 30 Jalan Persekutuan Pasir Puteh – Kota Bharu (Simpang Kampung Banir Belikong), di sini, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah, malam tadi.
Dalam kejadian jam 11.50 malam itu, mangsa yang berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Yaacob berkata, mangsa bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu memandu kereta jenis Perodua Kelisa sedang dalam perjalanan ke rumahnya di Pasir Puteh dari Kota Bharu.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan dan terbabas, kemudian mangsa tercampak keluar dari kenderaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Saari berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 12.05 tengah malam tadi.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih dijalankan.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan, boleh terus ke balai polis berdekatan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Pasir Puteh Inspektor Abdul Munir Mohd Fauzi di talian 013- 9872579.
© New Straits Times Press (M) Bhd



![[TIDAK RASMI] PRN Johor: Onn Hafiz jauh tinggalkan pesaing di Machap [TIDAK RASMI] PRN Johor: Onn Hafiz jauh tinggalkan pesaing di Machap](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/07/11/3579138.webp)
