Arbeloa dedah punca Real Madrid gagal atasi Barcelona

Arbeloa dedah punca Real Madrid gagal atasi Barcelona

Barcelona: Pengurus Real Madrid, Alvaro Arbeloa menegaskan kelabnya perlu bekerja lebih sebagai satu unit berbanding sekadar kumpulan individu, selepas Barcelona menewaskan mereka untuk mempertahankan gelaran La Liga, awal pagi tadi.

Barcelona menewaskan Los Blancos 2-0 dalam aksi El Clasico di Camp Nou untuk meraih kejuaraan berturut-turut dengan baki tiga perlawanan.

“Kami perlu secara kolektif melangkah ke hadapan, mempunyai idea yang lebih jelas tentang apa yang kami mahu lakukan,” kata Arbeloa kepada wartawan.

“Mendahulukan pasukan berbanding individu kerana selain bakat, kami sentiasa perlu mempunyai idea yang jelas, dan bagi saya ini adalah permulaan.”

“Lebih-lebih lagi, kami perlu belajar bahawa kami kehilangan banyak mata menentang pasukan dan dalam perlawanan yang sepatutnya kami tidak boleh kalah mata.”

Selepas menandatangani bintang Perancis, Kylian Mbappe, pada musim panas 2024, Madrid dilihat bergelut untuk mengekalkan keseimbangan apabila beliau digandingkan dengan Vinicius Junior dan Jude Bellingham.

Penyerang utama Madrid, Mbappe tidak dapat beraksi menentang Barcelona kerana kecederaan paha. Kapten Perancis itu turut menerima kritikan selepas bercuti di Sardinia ketika proses pemulihannya.

“Saya mahu dia berada pada tahap 100 peratus dan dapat bermain, itu yang saya mahukan,” kata Arbeloa.

Pengurus itu berkata beliau memahami kekecewaan penyokong terhadap pasukan musim ini selepas mereka menamatkan musim tanpa trofi utama buat tahun kedua berturut-turut.

“Kami tidak boleh banyak berkata kepada penyokong kerana kami faham kekecewaan mereka, rasa marah dan betapa tidak puas hatinya mereka dengan musim ini,” tambah jurulatih Sepanyol itu.

“Apa yang boleh kami lakukan hanyalah bekerja, melihat ke hadapan, belajar daripada semua kesilapan tahun ini, dan mengetahui bahawa Real Madrid sentiasa akan bangkit semula.”

Arbeloa dijangka tidak kekal musim depan dengan bekas jurulatih Madrid, Jose Mourinho, dikaitkan dengan kemungkinan kembali ke kelab itu.

“Kami akan berbincang dengan kelab seperti biasa, dan apa yang saya mahu sekarang ialah pasukan menamatkan musim dengan baik,” katanya.

“Itu adalah objektif saya dan kita akan lihat tentang masa depan selepas 24 atau 25 Mei.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top