PARIS – Seorang warga Perancis yang dipindahkan dari kapal persiaran MV Hondius dilaporkan menunjukkan simptom hantavirus ketika dalam penerbangan pulang dari Tenerife ke Paris.
Perdana Menteri Perancis, Sebastien Lecornu berkata, individu itu mula menunjukkan simptom ketika menaiki pesawat sewa khas menyebabkan kesemua lima rakyat Perancis yang dibawa keluar dari kapal diasingkan serta-merta sehingga notis lanjut.
Mereka antara lebih 90 pelancong yang dipindahkan dari kapal persiaran Belanda itu pada Ahad selepas kapal berkenaan berlabuh di Kepulauan Canary sebelum waktu subuh.
Setakat ini, tiga penumpang dilaporkan meninggal dunia selepas menaiki kapal tersebut dengan dua daripada mereka disahkan dijangkiti hantavirus.
Sebaik tiba di Lapangan Terbang Le Bourget, Paris, pegawai berpakaian peralatan perlindungan diri (PPE) dilihat menyambut kumpulan itu sebelum mereka dihantar menaiki ambulans ke Hospital Bichat untuk rawatan lanjut.
Perdana Menteri Perancis menambah, beliau akan mengeluarkan peringatan khas bagi membolehkan langkah pengasingan sewajarnya dilaksanakan demi melindungi orang awam.
Sejak awal pagi Ahad, penumpang MV Hondius mula dipindahkan dari kapal persiaran yang berlabuh berhampiran Tenerife, Sepanyol sebelum diterbangkan ke hospital di negara masing-masing atau ke Belanda untuk pemeriksaan kesihatan lanjut.
Wartawan AFP melihat sebuah pesawat yang membawa lima penumpang warga Perancis dari kapal persiaran itu mendarat di Lapangan Terbang Le Bourget, utara Paris kira-kira jam 4.30 petang waktu tempatan.
Jurugambar AFP turut melihat mereka dipindahkan menaiki konvoi lima ambulans dengan kawalan polis ke Hospital Bichat di Paris untuk rawatan dan pemantauan lanjut.
Menurut laporan BBC, Kementerian Hal Ehwal Luar Perancis memaklumkan, mereka akan menjalani kuarantin selama 72 jam dan melalui penilaian kesihatan menyeluruh sebelum dibenarkan menjalani pengasingan kendiri selama 45 hari.
Dalam perkembangan sama, 14 rakyat Sepanyol yang diterbangkan pulang dari Tenerife ke Madrid kini menjalani kuarantin wajib di hospital tentera di ibu negara itu.
Sementara itu, rakyat Britain dibawa pulang ke Manchester dilaporkan tidak menunjukkan simptom namun masih dipantau Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA).
Hantavirus lazimnya dibawa tikus, namun strain Andes dipercayai menjadi punca penularan dalam insiden itu boleh menular antara manusia dalam keadaan tertentu.
Antara simptom jangkitan termasuk demam, keletihan melampau, sakit otot, muntah, cirit-birit dan sesak nafas.



