
Gambar mangsa dengan sabit masih tertanam di kepala sebelum ini tular di media sosial, sekali gus mengejutkan orang ramai.
MUMBAI – Seorang lelaki mencuri perhatian ramai apabila tiba di hospital dalam keadaan cukup mengejutkan, dengan sebilah sabit kecil masih ‘tertanam’ di kepalanya selepas dipercayai diserang.
Kejadian itu berlaku di Mumbai, India, apabila mangsa dibawa ke Hospital Sion pada awal pagi 2 Mei lalu untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Menurut pihak berkuasa tempatan, mangsa dilaporkan masih sedar, tenang dan tidak menunjukkan tanda gangguan saraf walaupun senjata tajam itu menembusi bahagian kiri tengkoraknya.
Pemeriksaan lanjut mendapati sabit Koyta yang biasa digunakan untuk memotong kelapa itu tertusuk kira-kira 3.8 sentimeter ke dalam otak mangsa.
Mangsa kemudian dipindahkan ke unit rawatan rapi trauma sebelum menjalani pembedahan kecemasan.
Pasukan pakar bedah saraf yang diketuai Dr Batuk Diora bersama pakar bius di bawah seliaan Dr Shweta Mambre berjaya mengeluarkan senjata tersebut.
Menurut kenyataan Perbadanan Perbandaran Brihanmumbai (BMC), pembedahan itu berjaya dilakukan dan mangsa kini berada dalam keadaan stabil.
“Pesakit kini sedar dan sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi trauma, selain menunjukkan tanda pemulihan yang baik,” menurut kenyataan itu.
Gambar mangsa dengan sabit masih tertanam di kepala sebelum ini tular di media sosial, sekali gus mengejutkan orang ramai.
Insiden itu turut menarik perhatian ramai kerana mangsa masih mampu sampai ke hospital dalam keadaan sedar walaupun mengalami kecederaan serius di kepala. – Agensi



