
Vijay semasa memberi ucapan selepas dilantik sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu. Foto: Agensi
CHENNAI – Ketua Menteri Tamil Nadu yang baharu, C Joseph Vijay, berjanji untuk membuka era pentadbiran negeri itu berteraskan sekularisme, keadilan sosial dan tadbir urus bersih selepas mengangkat sumpah jawatan pada Ahad.
Dalam ucapan pertamanya sebagai Ketua Menteri di Stadium Nehru, Chennai, pelakon popular yang beralih ke dunia politik itu menyampaikan mesej penuh emosi, selain memberi amaran jelas bahawa pentadbirannya tidak akan bertolak ansur terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Vijay, yang mengetuai parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK), menggambarkan dirinya sebagai pemimpin daripada rakyat biasa dan bukan lahir daripada keluarga politik berpengaruh.
“Saya seperti anda. Saya salah seorang daripada anda,” katanya di hadapan penyokong yang memenuhi stadium berkenaan.
Beliau berkata, pengalaman hidup dalam keluarga sederhana menjadikannya memahami kemiskinan dan kesusahan rakyat secara dekat.
Menurut Vijay, rakyat Tamil Nadu terlebih dahulu menjadikannya bintang dalam dunia filem sebelum mengangkatnya ke jawatan politik tertinggi negeri itu.
“Saya bukan utusan Tuhan,” katanya, sambil menegaskan beliau hanyalah insan biasa yang tidak mahu menabur janji palsu.
Vijay berkata, beliau akan bekerja sedaya upaya untuk memenuhi harapan rakyat dan menyifatkan sokongan orang ramai sebagai kekuatan utama untuk berdepan cabaran pentadbiran.
Vijay dilantik sebagai Ketua Menteri selepas memperoleh sokongan 120 Ahli Dewan Undangan Negeri daripada keseluruhan 234 kerusi, melepasi majoriti mudah 118 kerusi – Agensi



