Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mahu kedudukan sebenar aset milik agensi itu di London diperjelaskan bagi mengelakkan kekeliruan berhubung nilai hartanah berkenaan.
Tiada permohonan jual hotel
Memetik laporan daripada Utusan Malaysia, beliau menyatakan sepanjang tempoh menerajui Felda sehingga akhir Jun lalu, tiada permohonan untuk menjual mana-mana hotel milik agensi itu di London dikemukakan.
“Tidak ada satu pun permohonan menjual hotel Felda di London telah dibuat semasa saya berada di Felda. Tak tahulah kalau selepas saya meninggalkan Felda pada akhir Jun lalu.
“Lagi pun Felda ada empat aset hartanah di sana, dua hotel dan dua penempatan pelajar,” katanya.

Bimbang PM dapat nasihat yang tidak tepat
Ahmad Shabery memaklumkan berdasarkan pengetahuannya, tiada satu pun daripada empat hartanah itu dibeli secara tunggal pada harga £160 juta, justeru perincian setiap aset perlu diperjelaskan supaya nilainya tidak disalah anggap sebagai keseluruhan portfolio Felda di London.
“Saya bimbang PM disalah nasihat atau ada yang cuba mengambil kesempatan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan penjualan aset Felda merupakan sebahagian daripada proses kerajaan yang melibatkan Kementerian Kewangan dan Jawatankuasa Penasihat kepada Jabatan Perdana Menteri.
Kenyataan itu susulan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau enggan menandatangani kelulusan penjualan sebuah hotel Felda selepas mendapati aset itu dicadangkan pada harga £100 juta berbanding harga pembelian £160 juta.
Sumber: Utusan Malaysia




