Azeem mara separuh akhir 100m Sukan Asia

JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi meneruskan misi memburu podium apabila berjaya melangkah ke separuh akhir acara 100 meter (m) lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, pada Khamis.

Muhammad Azeem mempamerkan aksi bertenaga apabila muncul juara saringan kelima selepas mencatat masa 10.17 saat (s) dalam perlumbaan di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium.

Pelari Singapura, Marc Brian Louis menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan 10.33s, manakala wakil Taiwan, Yang Chun Han menduduki tempat ketiga menerusi masa 10.38s.

Kejayaan itu menyaksikan Muhammad Azeem berada dalam kelompok pelari yang mara ke separuh akhir sekali gus membuka peluang untuknya meneruskan pemburuan pingat dalam acara berprestij berkenaan.

Seorang lagi wakil negara, Muhammad Umaira Subri turut melakar kejayaan apabila menamatkan saringan pertama di tempat keempat dengan catatan 10.43s.

Catatan tersebut sudah memadai buat Umaira untuk melayakkan diri ke separuh akhir menerusi slot enam pelari terpantas berikutnya.

Muhammad Azeem dan Muhammad Umaira dijadualkan meneruskan cabaran dalam aksi separuh akhir yang berlangsung pada Jumaat dengan sasaran melangkah ke pentas final.

Scroll to Top