Azizulhasni tambah pingat, raih gangsa acara pecut individu

Azizulhasni tambah pingat, raih gangsa acara pecut individu
Azizulhasni tambah pingat, raih gangsa acara pecut individu

Jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang ketika beraksi dalam acara separuh akhir Pecut Lelaki menentang pelumba dari Trinidad and Tobago, Nicholas Paul pada Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek UCI di Velodrom Nasional hari ini.Foto Bernama

NILAI – Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang menambah koleksi pingat pada Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 selepas memenangi gangsa acara pecut individu lelaki di Velodrom Nasional, Nilai di sini hari ini.

Azizulhasni yang mencipta sensasi merangkul emas keirin semalam, tidak berdepan masalah untuk menewaskan Atlet Neutral Individu (AIN) Nikita Kiriltsev dalam penentuan gangsa, sekali gus mengesahkan kedudukan podium.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2020 itu terlebih dahulu mempamerkan kayuhan meyakinkan apabila menewaskan Huang Ruiting dari China pada pusingan 1/8 sebelum meneruskan rentak cemerlang dengan menyingkirkan Dominik Topinka dari Republik Czech pada suku akhir.

Cabaran atlet berusia 38 tahun itu bagaimanapun terhenti dalam saingan separuh akhir selepas tewas kepada Nicholas Paul dari Trinidad dan Tobago.

Sepanjang tiga perlumbaan itu, Azizulhasni memenangi perlumbaan pertama, namun Paul bangkit menguasai perlumbaan kedua sebelum memastikan kemenangan pada aksi penentuan untuk mara ke final. – Bernama 

 

Scroll to Top