Baru Dua Tahun, Anak MK Dah Pandai Rap

Anak kepada penyanyi rap dan pelakon MK iaitu Aya Rayana sudah mula menunjukkan minat dalam bidang muzik.

Memetik BH Online, MK berkata anaknya itu sudah mampu menghafal serta menyanyi sebahagian rap lagunya.

BACA: MK K-Clique Hadir Ke Ceramah Ustaz Abdul Somad Jadi Perhatian

“Dia sudah hafal lagu Pulang, Risiko dan Mimpi. Dia pandai rap, saya tak tipu. Masya-Allah, dia pandai. Tetapi. kalau saya rap di rumah, dia marah. Itu yang saya pelik. Kalau pasang lagu itu dan saya rap, dia marah,” katanya.

Sementara itu, MK berkata mungkin minat Aya itu tercetus kerana sering mengikutinya membuat persembahan.

“Kalau bawa ke persembahan ketika dia masih kecil, dia duduk dalam kereta, buka tingkap sahaja atau duduk di belakang pentas. Jadi, dia tahu bapanya pergi buat persembahan dan menyanyi rap.

“Sekarang dia dah boleh duduk di sebelah pentas. Apabila di sebelah pentas, dia akan senyap, duduk tengok sahaja. Tapi kalau saya tak ada, dia boleh menyanyi, menari dan ‘hype’ ikut lagu,” katanya.

Dalam pada itu, MK berkata dia menyerahkan kepada anaknya seandainya suatu hari nanti mengikut jejak langkahnya sebagai penyanyi rap.

“Allahu Rabbi, janganlah dia rap. Tapi terpulanglah, kalau dia minat, tak apa. Saya terbuka dengan anak saya. Saya mahu yang terbaik untuk dia, apa yang dia suka. Saya tak ada halangan, tetapi saya hendak membesarkan dia dengan ajaran agama yang cukup.

“Saya mahu dia menjadi seorang yang boleh berbakti kepada negara dan sangat berguna kepada masyarakat. Kita tak tahu ke depan nanti macam mana, tetapi insya-Allah, saya ada untuk bimbing dia.

“Yang penting, dia tahu apa yang patut dan apa yang tidak patut. Dia tahu mana yang baik dan mana yang tidak baik, tahu mana yang halal dan haram. Itu saja yang saya harapkan,” katanya.

Sumber: BH Online


Scroll to Top