Belanjawan 2027 bukti KTMB tidak dijual, Anthony Loke mahu noktahkan segala fitnah!

Belanjawan 2027 bukti KTMB tidak dijual, Anthony Loke mahu noktahkan segala fitnah!

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah merancang untuk menjual atau menswastakan bangunan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), sekali gus menolak dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan usaha menyerahkan aset bersejarah itu kepada pihak luar.

Memetik laporan MalaysiaGazette, menurut beliau, pengumuman pemuliharaan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat KTMB menerusi Belanjawan 2027 menjadi bukti jelas bahawa kedua-dua bangunan ikonik berkenaan akan terus dipelihara sebagai aset milik kerajaan.

Malah, beliau berharap inisiatif tersebut dapat menamatkan segala tuduhan dan fitnah yang selama ini dilemparkan terhadap dirinya serta Kementerian Pengangkutan.

“Dengan pengumuman ini, saya berharap dapat menoktahkan segala tuduhan dan fitnah yang menyatakan Kementerian Pengangkutan hendak jual bangunan KTMB, ada pihak yang fitnah sepanjang masa kata Anthony Loke hendak jual KTMB termasuk bangunan kepada orang dan syarikat Cina. Ini tidak betul langsung, fitnah berterusan.
“Dengan pengumuman ini, memang tidak ada rancangan untuk menswastakan atau menjual bangunan KTMB ini kerana milik kerajaan yang cukup bersejarah dan ada nilai nostalgia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2027 di Kementerian Pengangkutan.

Mengulas lanjut, Anthony menjelaskan bahawa projek pemuliharaan kedua-dua bangunan bersejarah itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Khazanah Nasional Berhad.

Usaha tersebut bukan sahaja bertujuan memastikan bangunan berkenaan terus terpelihara, malah mengekalkan nilai sejarah dan warisan pengangkutan negara untuk generasi akan datang.

“Kita dapat kelulusan untuk pemuliharaan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat KTMB sebagai usaha memelihara warisan sejarah pengangkuta negara.
“Ini satu inisiatif yang penting iaitu bangunan ikonik Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat KTMB, dua bangunan bersejarah ini akan dipulihara oleh pihak Khazanah Nasional bersama RAC (Perbadanan Aset Keretapi) akan usahasama seperti apa yang Khazanah laksanakan untuk Bangunan Sultan Abdul Samad,” tambahnya lagi.

Sebagai rekod, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan inisiatif pemuliharaan berkenaan ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu.Belanjawan 2027 bukti KTMB tidak dijual, Anthony Loke mahu noktahkan segala fitnah.

Sumber: MalaysiaGazette (Mohammad Arif Nizam)

Scroll to Top