East Rutherford: Piala Dunia 2026 menyaksikan ramai bintang ternama dunia menyerlah, namun akhirnya trofi paling berprestij itu menjadi milik Sepanyol yang membuktikan kekuatan sebagai sebuah pasukan, meskipun tidak begitu memukau.
Ramai memberi tumpuan kepada sensasi muda, Lamine Yamal, namun pemain sayap berusia 19 tahun itu bergelut untuk mencapai tahap kecergasan terbaiknya dan hanya meledak satu gol sepanjang kejohanan, ketika membantu Sepanyol menewaskan Arab Saudi di peringkat kumpulan.
Edisi pertama Piala Dunia yang membabitkan 48 pasukan itu mencatat purata 2.96 gol setiap perlawanan, sekali gus menjadi kejohanan paling banyak menghasilkan jaringan sejak 1970.
Bagaimanapun, Sepanyol hanya menjaringkan 14 gol dalam lapan perlawanan, namun tetap muncul juara selepas menundukkan Argentina 1-0 menerusi masa tambahan di Stadium New York New Jersey, sekali gus menamatkan impian Lionel Messi mempertahankan kejuaraan.
La Roja menguasai sepenuhnya aksi final, namun terpaksa menunggu hingga minit ke-106 sebelum Ferran Torres muncul wira dengan gol kemenangan yang menghadiahkan gelaran dunia kedua buat negara itu.
Rahsia kejayaan Sepanyol terletak pada benteng pertahanan yang cukup ampuh apabila hanya dibolosi sekali sepanjang kejohanan, iaitu ketika suku akhir menentang Belgium.
Mengemudi kekuatan itu ialah kapten pasukan, Rodri, yang memainkan peranan besar di bahagian tengah sehingga dipilih sebagai Pemain Terbaik Kejohanan, mengatasi nama-nama besar seperti Lionel Messi dan Kylian Mbappe.
Kejayaan itu mengimbau kenangan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan apabila Sepanyol turut muncul juara hasil disiplin pertahanan yang sukar ditembusi.
“Apabila anda tidak dibolosi, peluang untuk menang menjadi lebih mudah.
“Kami menyerang bersama dan bertahan bersama. Itulah antara kekuatan utama pasukan ini,” kata pertahanan kiri Sepanyol, Marc Cucurella, yang baru menyertai Real Madrid dari Chelsea.
© New Straits Times Press (M) Bhd




