BN tetap kingmaker walaupun menang 30 kerusi – Pemuda UMNO

BN tetap kingmaker walaupun menang 30 kerusi – Pemuda UMNO
BN tetap kingmaker walaupun menang 30 kerusi – Pemuda UMNO

Fadzmel berkata, tindakan berani kepimpinan tertinggi BN diketuai Ahmad Zahid dalam mengambil ijtihad politik berkenaan amat penting dalam mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mengingatkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd Kamil Munim agar memahami teori sains politik dan dinamika kerajaan gabungan sebelum melemparkan tuduhan ‘angkuh’ terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Exco Pemuda UMNO, Fadzmel Fadzil berkata, kenyataan Ahmad Zahid mengenai peranan BN dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah bersandarkan kepada teori pembentukan kerajaan gabungan (Coalition Theory) yang diperkenalkan oleh William H. Riker.

Beliau menjelaskan, walaupun BN hanya memenangi 30 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kestabilan sesebuah kerajaan tidak hanya bergantung kepada parti yang memiliki kerusi terbanyak, sebaliknya ditentukan oleh pihak bertindak sebagai paksi segi tiga (The Pivot Factor).

“Selepas PRU15 yang menyaksikan Parlimen tergantung, BN secara jelas adalah ‘kingmaker’ mutlak.

“Bukan sahaja dari segi nombor yang mencukupkan majoriti Kerajaan Perpaduan, malah memastikan suara bangsa Melayu mempunyai wakil majoriti di dalam kabinet,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kenyataan itu bagi mengulas teguran Mohd Kamil yang meminta Ahmad Zahid tidak bersikap angkuh dan tidak perlu overclaim berhubung peranan BN sebagai faktor utama penubuhan kerajaan sedia ada.

Mengulas lanjut, Fadzmel berkata, tindakan berani kepimpinan tertinggi BN diketuai Ahmad Zahid dalam mengambil ijtihad politik berkenaan amat penting dalam mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil daripada segi majoriti dan komposisi kaum, meskipun turut digoda oleh blok politik satu lagi.

Tegasnya, langkah sedemikian bukan perkara asing dalam sejarah politik global, malah banyak negara menjadi saksi bagaimana parti-parti tradisi akhirnya bertindak sebagai penyelamat atau tonggak yang menyelamatkan negara daripada ekstremisme politik.

Beliau turut membandingkan situasi berkenaan dengan keruntuhan kerajaan gabungan Mario Draghi di Itali beberapa tahun lalu, yang membuktikan sesebuah kerajaan boleh runtuh dalam tempoh beberapa bulan sekiranya parti hanya berbangga dengan jumlah kerusi tanpa mempunyai ‘gam’ untuk mengikat ideologi.

“Peranan ini yang dimainkan oleh kepimpinan BN dan UMNO dalam merapatkan jurang antara Pakatan Harapan (PH) serta parti-parti Borneo pada awal penubuhan kerajaan.

“UMNO dan BN tidak pernah mendakwa kami adalah pemilik tunggal Kerajaan Perpaduan, tetapi tiada sesiapa juga boleh menafikan UMNO serta BNlah yang meletakkan modal paling berisiko tinggi di awal penubuhannya,” tambahnya.

Scroll to Top