Ceritaku@Sekolah perkasa literasi maklumat generasi muda

Ceritaku@Sekolah perkasa literasi maklumat generasi muda

PUTRAJAYA: Program Ceritaku@Sekolah 2026 bukan sekadar memupuk budaya membaca, malah memperkasa pelajar dengan kemahiran menilai dan menapis maklumat bagi mendepani lambakan maklumat serta penyebaran berita palsu.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, keupayaan mencari, menilai kesahihan sumber dan mengenal pasti maklumat palsu penting bagi membentuk generasi muda yang berfikiran kritis.

Katanya, kemahiran literasi maklumat perlu diperkukuh sejak di bangku sekolah supaya pelajar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Melalui pendedahan ini, kita berhasrat untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja celik ilmu, malah bijak, beretika dan berintegriti dalam menguruskan maklumat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Ceritaku@Sekolah 2026 di sini, hari ini.

Menurut Haslina, pendekatan membawa aktiviti perpustakaan terus ke sekolah mampu menjadikan pembelajaran lebih menarik selain menggalakkan pelajar berinteraksi dan meningkatkan keyakinan diri.

Katanya, antara pengisian yang diketengahkan ialah sesi bercerita bersama penglipur lara yang disampaikan secara kreatif bagi menarik minat pelajar terhadap bahan bacaan.

“Pendekatan ini bukan sahaja menggalakkan pelajar membaca secara sendiri, tetapi turut memberi peluang kepada mereka berinteraksi dan berkongsi pengalaman bersama rakan-rakan,” katanya.

Selain itu, Misi Si Bijak Info diperkenalkan bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran mencari, menilai dan menggunakan maklumat secara tepat serta beretika disokong menerusi pameran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bagi memberi peluang kepada pelajar mengenali dengan lebih dekat peranan serta pelbagai inisiatif yang disediakan PNM. – UTUSAN

Scroll to Top