Dakwa Kerajaan Madani ‘bergolak’, Pas cadang bubar Parlimen

KOTA BHARU – Pas mencadangkan supaya parlimen dibubarkan bagi membolehkan rakyat memberi mandat kepada pentadbiran baharu selepas Kerajaan Madani dilihat bergolak, dakwa Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ini kerana dakwanya lagi, parti-parti yang ada dalam kerajaan terutama Pakatan Harapan (PH) rancak menyerang Barisan Nasional (BN) walaupun membentuk kerjasama ketika ini.

“Keadaan ini sudah terbuka dan bukan lagi satu rahsia. Biasanya perkara sebegini dalam parti tidak akan dibawa keluar, tetapi kerana kritikan, situasi sudah sangat serius dan tidak boleh dikawal, masing-masing serang-menyerang satu sama lain,” dakwanya semasa sidang akhbar pada Jubli Intan 75 Tahun Pas sempena Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa di sini pada Jumaat. 

Tuan Ibrahim berkata, situasi itu tidak seharusnya dibiarkan berlarutan kerana kestabilan politik perlu dikembalikan menerusi mandat baharu daripada rakyat.

“Pandangan saya mudah sahaja. Bagi saya, untuk kestabilan, bubar Parlimen dan beri mandat kepada rakyat untuk rakyat buat pilihan baharu.

“Keputusan baru-baru ini bukan rakyat pilih satu parti, tetapi ia hanya gabungan. Gabungan itu bukan rakyat yang kehendaki, tetapi situasi yang mendesak supaya wujudkan gabungan membentuk Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Tuan Ibrahim menyifatkan tindakan parti komponen kerajaan termasuk PKR dan DAP yang menyerang UMNO sebagai tidak wajar dalam konteks muafakat politik.

Ujarnya, UMNO mempunyai jumlah kerusi yang lebih banyak dan parti-parti lain tidak sepatutnya bertindak sedemikian terhadap parti berkenaan.

“UMNO jauh lebih besar berbanding parti-parti tersebut, dan mereka tidak sepatutnya bertindak demikian kerana UMNO mempunyai jumlah kerusi yang lebih banyak serta menumpang kekuatan UMNO yang ada.

“Dalam muafakat politik, biasanya kita saling menghormati, dan tindakan pihak-pihak komponen termasuk PKR dan DAP membuatkan UMNO dan ahlinya berasa tidak selesa,” katanya.

Scroll to Top