KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan Terengganu (Wakil Masyarakat Bukan Islam), Chan Chee How mengingatkan pemimpin DAP agar lebih bertanggungjawab serta tidak membangkitkan polemik yang berpotensi menggugat ketenteraman awam dan hubungan antara kaum di negeri itu.ARTIKEL BERKAITAN: Adam Adli tak setuju pandangan Poay Tiong, gesa mohon maaf’Bincang dengan pemimpin setempat sebelum bersuara’ – Akar umbi DAP tegur Poay TiongChee How berkata, beliau memandang serius kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berhubung arahan penutupan premis perniagaan ketika waktu solat Jumaat di Terengganu yang disifatkan boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.Menurutnya, sebarang kenyataan berkaitan kepentingan masyarakat bukan Islam hendaklah berasaskan fakta yang lengkap serta pemahaman terhadap keadaan sebenar masyarakat setempat.”Pendekatan politik DAP yang melagakan masyarakat atas perbezaan agama dan kaum tidak seharusnya dibawa masuk ke Terengganu, malah tidak wajar mendapat tempat di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.Terdahulu, Poay Tiong menerusi hantaran di laman sosialnya membangkitkan kebimbangan mengenai pelaksanaan arahan penutupan sementara operasi premis perniagaan selama dua jam dari 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat yang didakwa boleh menjejaskan kebebasan berniaga dan gaya hidup masyarakat bukan Islam.Beliau menganggap arahan berkenaan mencerminkan pengaruh dasar keagamaan konservatif parti Islam terhadap pentadbiran awam.Bagaimanapun, Poay Tiong berkata, pihaknya menghormati kewajipan umat Islam menunaikan solat Jumaat, namun berpendapat dasar lebih menyeluruh perlu dilaksanakan bagi mengambil kira kepentingan semua pihak.Mengulas mengenai isu berkenaan, Chee How merujuk penjelasan terperinci yang pernah dibuat oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) melalui Datuk Bandar ketika itu, Datuk Rosli Latif dalam satu sidang media pada 10 Januari 2024.Jelas beliau, arahan penutupan sementara premis perniagaan selama dua jam bermula jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat yang berkuat kuasa pada 12 Januari 2024 itu melibatkan pasar raya, restoran, kedai makan, gerai makanan serta restoran makanan segera yang ditetapkan MBKT.Bagaimanapun, katanya, premis perniagaan milik bukan Islam diberikan pengecualian dan dibenarkan beroperasi seperti biasa.”Premis makanan milik bukan Islam yang mempunyai pekerja beragama Islam turut tertakluk kepada peraturan tersebut bagi membolehkan pekerja menunaikan kewajipan solat Jumaat.”Selain itu, kedai makan yang diuruskan oleh pekerja wanita boleh memohon kelulusan khas untuk meneruskan operasi tertakluk kepada aku janji, pematuhan syarat pelesenan serta pemantauan MBKT, manakala premis hotel turut diberikan pengecualian dengan mengambil kira keperluan musafir dan pengunjung dari luar Terengganu,” ujarnya.Tambah Chee How, dakwaan bahawa semua premis perniagaan termasuk milik bukan Islam diwajibkan tutup tanpa pengecualian adalah tidak selaras dengan penjelasan yang telah diberikan oleh MBKT sebelum ini.Sehubungan itu, beliau menegaskan sekiranya terdapat surat atau arahan baharu yang didakwa bercanggah dengan penjelasan tersebut, perkara itu sewajarnya dirujuk terus kepada MBKT bagi mendapatkan pengesahan sebelum sebarang kesimpulan dibuat.Beliau turut memberi jaminan sedia mendengar, berbincang dan membawa sebarang permasalahan yang dihadapi masyarakat bukan Islam kepada kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk diselesaikan secara konstruktif.”Masyarakat Islam dan bukan Islam di Terengganu telah sekian lama hidup dalam suasana saling menghormati. Menghormati tuntutan ibadah umat Islam tidak bermakna masyarakat bukan Islam perlu mengorbankan hak dan kepentingan mereka.”Keharmonian, ketenteraman dan kebahagiaan yang dinikmati rakyat Terengganu hari ini merupakan aset yang amat berharga. Jangan sesekali mengusiknya demi kepentingan politik kerana Terengganu adalah rumah kita bersama,” katanya.
DAP diingatkan jangan bawa politik perkauman ke Terengganu – ADUN lantikan
Malay News | https://www.malay.news/dap-diingatkan-jangan-bawa-politik-perkauman-ke-terengganu-adun-lantikan/