Detik genting Artemis II: Angkasawan masuk zon graviti bulan

Detik genting Artemis II: Angkasawan masuk zon graviti bulan
Detik genting Artemis II: Angkasawan masuk zon graviti bulan

Pakar misi Artemis II, Christina Koch melihat kembali ke arah Bumi melalui tingkap kapsul Orion. – Foto AFP

FLORIDA – Empat angkasawan yang menyertai misi Artemis II telah memasuki zon graviti bulan, iaitu titik apabila tarikan graviti bulan ke atas kapal angkasa Orion menjadi lebih kuat berbanding tarikan graviti bumi, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik NASA pada Isnin.

Kru terbabit terdiri daripada angkasawan Amerika Syarikat (AS) Victor Glover, Christina Koch dan Reid Wiseman serta angkasawan Kanada, Jeremy Hansen yang kini menjadi manusia pertama dalam tempoh lebih 50 tahun melakukan perjalanan ke bulan.

Misi itu merupakan penerbangan ke angkasa yang kedua bagi Glover, Koch dan Wiseman, manakala Hansen pula kali pertama.

Angkasawan misi Artemis II (dari kiri) juruterbang NASA, Victor Glover, komander NASA, Reid Wiseman, pakar misi Canadian Space Agency (CSA), Jeremy Hansen dan pakar misi NASA, Christina Koch kini menjadi manusia pertama dalam tempoh lebih 50 tahun melakukan perjalanan ke bulan. - Foto AFP

Angkasawan misi Artemis II (dari kiri) juruterbang NASA, Victor Glover, komander NASA, Reid Wiseman, pakar misi Canadian Space Agency (CSA), Jeremy Hansen dan pakar misi NASA, Christina Koch kini menjadi manusia pertama dalam tempoh lebih 50 tahun melakukan perjalanan ke bulan. – Foto AFP

Mereka berlepas pada petang Rabu dengan menaiki kapsul Orion yang dilancarkan oleh roket Space Launch System dari pusat pelancaran Cape Canaveral di Florida, AS.

Kira-kira 24 jam kemudian, mereka meninggalkan orbit Bumi menerusi manuver khas.

Artemis II dibina berasaskan pengalaman misi Artemis I tanpa kru pada 2022, dengan laluan penerbangannya secara keseluruhan menyerupai bentuk angka lapan mengelilingi bumi dan bulan.

Kru terbabit kini dijadual mengelilingi bulan sebelum kembali ke ubmi dan mendarat di laut pada Jumaat.

Empat angkasawan Artemis II kini telah melepasi titik separuh perjalanan menuju penerbangan lintas bulan. - Foto AFP

Empat angkasawan Artemis II kini telah melepasi titik separuh perjalanan menuju penerbangan lintas bulan. – Foto AFP

Dalam beberapa jam akan datang, kapal angkasa itu dijangka berada pada kedudukan paling hampir dengan bulan, iaitu kira-kira 7,500 kilometer melepasi bahagian jauh bulan.

Para angkasawan akan berpeluang melihat bumi dan bulan pada masa yang sama, selain menyaksikan gerhana matahari apabila matahari terlindung di sebalik bulan dari perspektif Orion.

Mereka juga berkemungkinan mencatat perjalanan paling jauh dari bumi yang pernah dicapai manusia.

Rekod semasa dipegang oleh kru misi Apollo 13 pada 1970, iaitu pada jarak kira-kira 400,171 kilometer. – Bernama-dpa

Scroll to Top