
Trump digambarkan sebagai pemimpin yang lemah dan ‘dapat dibaca percaturannya terhadap Iran’.- Agensi
TEHERAN – Iran dilihat meningkatkan perang propaganda digital dengan menghasilkan klip video berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang menyindir Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali gus menarik perhatian jutaan penonton di seluruh dunia.
Video tersebut memaparkan animasi gaya Lego dan adegan dramatik yang menggambarkan Trump serta sekutunya dalam bentuk karikatur, dengan mesej yang jelas mempersendakan kepimpinan AS dalam konflik semasa.
Kandungan itu disebarkan secara meluas di platform media sosial seperti X, Telegram dan Instagram, dengan beberapa klip meraih jutaan tontonan dalam tempoh singkat.
Menurut laporan media antarabangsa, Trump menjadi sasaran utama dalam kempen propaganda Iran, yang kini memasuki dimensi baharu melalui penggunaan teknologi AI dan kandungan visual moden.
Pakar budaya Iran, Kevin L. Schwartz dan Olmo Gölz berkata, kandungan seperti itu sebenarnya bukan sesuatu yang mengejutkan.
“Dapat difahami bahawa video tersebut dihasilkan oleh pihak yang mempunyai kaitan dengan institusi kerajaan dan media rasmi, menjadikannya sebahagian daripada strategi komunikasi ideologi yang terancang, bukan sekadar hiburan,” ujarnya.
Penggunaan teknologi AI membolehkan pencipta menghasilkan visual realistik, efek khas dan animasi 3D yang tinggi, sekali gus meningkatkan daya tarikan dan impak propaganda.
Gabungan humor dan mesej politik memudahkan kandungan ini diterima oleh khalayak global, termasuk penonton muda yang lebih gemar kandungan visual dan interaktif.-Agensi



