Israel buat keputusan berat sebelah ‘beri keistimewaan’ kepada komuniti Yahudi

Israel buat keputusan berat sebelah ‘beri keistimewaan’ kepada komuniti Yahudi
Israel buat keputusan berat sebelah ‘beri keistimewaan’ kepada komuniti Yahudi

Tembok Ratapan terletak di barat pekarangan Masjid Al-Aqsa. Foto Agensi

TEL AVIV – Mahkamah Agung Israel pada Ahad membuat keputusan yang ternyata berat sebelah apabila membenarkan penambahan jumlah penganut Yahudi di Tembok Ratapan yang terletak di barat pekarangan Masjid al-Aqsa, di tengah-tengah sekatan waktu perang yang ketat di Kota Baitulmaqdis.

Ia merupakan respons segera terhadap petisyen dikemukakan sebuah badan bukan kerajaan ketika penduduk Palestin dan penganut Kristian terus dihalang ke rumah ibadat masing-masing.

Had disemak semula yang sebelum ini ditetapkan seramai 50 telah ditambah kepada 100 orang yang berkuat kuasa serta-merta.

Ketika ini, pihak berkuasa Israel mengenakan sekatan ketat terhadap tempat suci di seluruh Baitulmaqdis atas alasan keselamatan sejak Perang Iran bermula pada 28 Februari lalu.

Rejim Zionis juga mengehadkan aktiviti sosial kononnya selepas menilai risiko yang tinggi kerana serangan balas Iran bersama proksi mereka.

Penutupan al-Aqsa sejak awal Ramadan lalu turut mengundang gelombang kecaman Muslim di seluruh dunia.

Sumber rapat hal ehwal masjid ketiga paling suci orang Islam itu memaklumkan Israel melanjutkan tempoh larangan memasuki al-Aqsa sehingga pertengahan bulan ini.

Tetapi, masih tidak jelas sama ada masjid itu akan dibuka semula selepas tarikh 15 April ini atau sekatan ketat itu akan diteruskan selagi konflik di Asia Barat belum reda. – Agensi

 

 

Scroll to Top