redzuan.muharam@hmetro.com.my
Rawang: Tidak hanya menanggung derita akibat hidrosefalus, sawan, masalah saraf dan hernia atau angin pasang pada usia kecil malah Muhammad Aidil Adha Abdul Muhaimin juga membesar tanpa insan yang bergelar bapa.
Lantaran itu, Muhammad Aidil Adha, 2, atau nama manjanya ‘Adik’ hanya dapat menumpang kasih dengan ibu, Nur Shahidatul Fatihah Razimi, 24, dan abang, Muhammad Rayyan Zikrullah Abdul Muhaimin, 6.
Bercerita lanjut, Nur Shahidatul Fatihah yang masih dalam tempoh iddah berkata, dia tiada pilihan melainkan membesarkan anak tanpa suami selepas mendakwa lelaki itu melarikan diri pada 2023.
Meskipun begitu, Nur Shahidatul Fatihah bersyukur kerana tidak bersendiri dalam menanggung ujian kerana mendapat sokongan kuat daripada ibu, Norain Idayu Abdul Razak, 49, dan bapa, Razimi Ramli, 59, yang tinggal bersamanya.
“Saya ditinggalkan suami ketika hamil dan gagal menjejakinya sehingga kini.
“Sejak itu, saya meneruskan hidup sendiri dengan menumpang di rumah emak dan ayah.
“Mujur emak dan ayah masih ada, malah banyak membantu saya yang tidak bekerja kerana perlu uruskan anak. Tanpa mereka, tak tahu macam mana saya nak teruskan hidup,” katanya ketika Harian Metro di rumahnya dekat Pangsapuri Teratai di Bukit Beruntung, di sini.
Berkongsi perihal anaknya, Nur Shahidatul Fatihah berkata, dia dimaklumkan doktor mengenai keadaan anaknya ketika kandungan berusia 38 minggu.
“Kiranya, waktu itu hampir nak bersalin tapi pujuk diri untuk terima terutama selepas lihat keadaan anak selepas dilahirkan.
“Tapi anak sudah menjalani prosedur pemasangan injap shunt boleh laras (programmable shunt) ketika berusia tiga bulan seperti yang disyorkan doktor.
“Buat masa ini, anak minum susu melalui tiub disambungkan melalui hidung cuma masih diserang sawan dengan kekerapan lima ke enam kali dalam sehari,” katanya.
Kata Nur Shahidatul Fatihah, berat kepala Muhammad Aidil Adha mencecah dua kilogram (kg) dan sudah dikategorikan sebagai pesakit paliatif.
“Tapi saya masih perlu membawa anak berjumpa pakar mata di Hospital Sungai Buloh, pakar kanak-kanak di Hospital Selayang dan pakar bedah saraf di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur.
“Emak yang banyak bantu di rumah kerana ayah keluar bekerja. Anak sulung pun ada bantu tengokkan malah sangat sayangkan adiknya itu,” katanya.
Selagi ada kudrat dan dipanjangkan usia, Nur Shahidatul Fatihah akan terus membesarkan anaknya itu dengan sebaiknya.
“Saya anggap apa yang berlaku sebagai ujian dan pada masa sama hadiah daripada Allah SWT kerana mengurniakan zuriat istimewa buat saya.
“Saya berdoa semoga Allah SWT terus memberi kekuatan untuk meneruskan hidup dan menggalas tanggungjawab sebagai ibu,” katanya.
Buat masa ini, Muhammad Aidil Adha menerima bantuan bulanan sebanyak RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan elaun barangan keperluan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Orang ramai yang berhasrat membantu menyalurkan sumbangan ke akaun Public Bank bernombor 4785700634 atas nama Norain Idayu Abdul Razak.
© New Straits Times Press (M) Bhd
