Enam maut dalam nahas ngeri di Jalan Karak Lama

Enam maut dalam nahas ngeri di Jalan Karak Lama

Bentong: Enam lelaki berusia antara 15 hingga 25 tahun maut selepas Toyota Vios yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori satu tan di Jalan Karak Lama menghala ke Temerloh, berhampiran Klinik Desa Jambu Rias, dekat sini, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 4.25 pagi itu, semua mangsa yang menaiki Toyota Vios disahkan meninggal dunia di lokasi akibat tersepit selepas kenderaan dinaiki mengalami rempuhan kuat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada 4.24 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, jentera pertama tiba di lokasi pada 4.32 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Vios serta sebuah lori satu tan.

“Enam mangsa lelaki yang menaiki Toyota Vios didapati tersepit di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mangsa yang maut dikenali sebagai V Mugilan, 25; K Dinesvaran, 21; K Alaganathan, 20; A Kanabati Raja , 18; S K Kiisyen, 16 dan M Paranthaman, 15.

Menurutnya, pemandu lori satu tan, Muhamad Hanafi Ahmad Raju, 31, mengalami kecederaan sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, anggota bomba bertindak memberikan rawatan awal serta mengeluarkan semua mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas penyelamatan.

“Mayat kesemua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera diserahkan kepada KKM,” katanya.

Operasi membabitkan tujuh anggota BBP Karak dengan bantuan sembilan anggota BBP Mentakab ditamatkan sepenuhnya pada 6.40 pagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top