sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Selepas menjaringkan 11 gol daripada empat perlawanan, pemain import Pahang Rangers, Felipe de Souza kini berada pada kedudukan terbaik untuk sekali lagi meraih anugerah penjaring terbanyak Liga Futsal Perdana Kebangsaan Malaysia (MPFL) musim ini.
Pada musim 2024 pemain import kelahiran Brazil itu menerima anugerah kasut emas selepas menghasilkan 24 gol di peringkat liga Divisyen 1 dan menambah empat jaringan lagi pada saingan Piala Malaysia Futsal manakala pada musim lalu dia menyumbang 27 gol.
Penyudah tepat dibantu kawalan bola baik menjadi kelebihannya untuk menjaringkan gol buat Pahang Rangers yang kini di tangga kedua liga di belakang Selangor FC.
Menurut Felipe, misi utamanya adalah memastikan Pahang Rangers menang dalam setiap perlawanan sambil menyumbangkan seberapa banyak gol.
Katanya, kejayaan menghasilkan gol bukan usahanya seorang, sebaliknya sokongan dan kerjasama rakan sepasukan.
“Selepas empat perlawanan di dua sirkit di Johor sebelum ini, saya menyumbang 11 gol dan berkongsi kedudukan dengan pemain import Selangor, Marlon Oliveira Araujo.
“Usaha menambah koleksi jaringan musim ini akan dilakukan pada sirkit ketiga di Selangor, minggu depan.
“Saya berharap penyudah yang tepat dan berkesan terus dapat dilakukan dengan bantuan rakan sepasukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




