Francisco tekad elak ulang kekecewaan bapa

Francisco tekad elak ulang kekecewaan bapa

MIAMI: Pemain sayap Portugal, Francisco Conceicao berazam untuk mengelakkan nasib malang yang pernah menimpa bapanya, Sergio Conceicao ketika skuad negara itu berdepan Uzbekistan dalam aksi kedua Kumpulan K Piala Dunia 2026, hari ini.

Francisco berkata, pengalaman pahit yang dilalui bapanya pada Piala Dunia 2002 menjadi pengajaran berharga buat dirinya dan rakan sepasukan agar tidak mengulangi kesilapan yang boleh menjejaskan peluang Portugal mara jauh dalam kejohanan tersebut.

“Saya rasa kempen Piala Dunia ketika itu tidak berjalan dengan baik kerana mereka tersingkir di peringkat kumpulan.

“Sudah tentu saya berbangga kerana ayah saya pernah beraksi di Piala Dunia dan kini, 24 tahun kemudian, saya juga berpeluang berada di pentas yang sama. Namun, saya berharap jalan ceritanya akan berbeza,” katanya.

Portugal memulakan kempen dengan keputusan seri menentang Republik Demokratik Congo, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas pasukan itu untuk meraih kemenangan ke atas Uzbekistan.

Menurut Francisco, bapanya sering mengingatkan bahawa walaupun sesebuah pasukan memiliki barisan pemain berkualiti dan cita-cita tinggi, satu kesilapan kecil di pentas Piala Dunia boleh mengundang padah.

“Dia memberitahu bahawa generasi mereka juga mempunyai impian besar dan skuad yang hebat. Namun, satu kesilapan sahaja boleh menyebabkan segala-galanya musnah. Itulah perkara yang kami mahu elakkan,” katanya.

Dalam masa sama, Francisco menyifatkan bapanya sebagai individu yang paling banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar dalam kerjaya bola sepak serta kehidupan peribadinya.

Sementara itu, Uzbekistan yang membuat penampilan sulung di Piala Dunia dibimbing bekas kapten Itali dan juara dunia 2006, Fabio Cannavaro.

Menjelang pertemuan tersebut, Francisco menjangkakan Uzbekistan akan menggunakan pendekatan bertahan dengan susunan lima pemain di benteng pertahanan bagi menyukarkan usaha Portugal mencari gol awal.

“Saya mengenali corak jurulatih Itali. Saya percaya mereka akan cuba mengekang kami selama mungkin dengan pertahanan yang tersusun dan berdisiplin.

“Kami sedar cabaran yang menanti serta kesilapan yang dilakukan dalam perlawanan pertama. Perkara itu tidak boleh berulang jika kami mahu memperoleh keputusan yang lebih baik,” katanya. – AFP

Scroll to Top