Gurauan anak tinggal kenangan

Gurauan anak tinggal kenangan

am@hmetro.com.my

Dungun: “Saya tak pernah bergurau dengan mereka, kali ini mereka pulang dan tak putus-putus bergurau dengan saya.

“Bila menatap jenazah kedua-dua anak, barulah saya sedar gurauan itu petanda mereka akan pergi meninggalkan saya,” kata Mohd Zul-Zunaidi Mohd Baldin, 40, selepas kedua-dua mayat anaknya ditemui lemas ketika mandi di Sungai Kampung Beril, Paka, semalam.

Mohd Zul-Zunaidi berkata, kedua-dua anaknya, Muhammad Amir Ashraf, 15, dan Muhammad Aidil Amsyar, 14, sangat gembira selepas dia memberitahu mereka akan pulang menyambut Hari Raya Aidiladha di kediaman keluarga bapanya di Kampung Melor, Ketereh, Kelantan.

“Kami sepatutnya bertolak pulang ke Kelantan hari ini (semalam). Sebelum kejadian, arwah Muhammad Amir Ashraf dan Muhammad Aidil Amsyar telah bersiap mengemas semua pakaian mereka.

“Namun kegembiraan kedua-dua anak berakhir selepas mereka pergi terlebih dahulu meninggalkan saya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua anaknya itu tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Durian Guling, Marang.

“Saya jemput mereka pada Khamis, kedua-dua mereka sangat gembira bila dimaklumkan akan beraya di Kelantan kerana kami sudah lama tidak pulang ke kampung.

“Masa ambil di asrama, kedua-dua mereka teringin nak mandi sungai. Petang Jumaat, saya bawa mereka mandi di Sungai Kelemin, Hulu Dungun kerana sungai itu sangat cetek dan tidak bahaya,” katanya.

Menurutnya, pada pagi kejadian kelmarin, dia tidak sedar kedua-dua anaknya itu mandi di Sungai Kampung Beril.

“Saya ketika itu sibuk di rumah membasuh semua pakaian dan cadar kedua-dua anak yang dibawa pulang dari asrama.

“Bila sampai di tempat kejadian, remuk hati saya dan isteri, Siti Nurfitriah Hasan, 35, bila kami dapati kedua-dua anak lemas,” katanya.

Mohd Zul-Zunaidi berkata, biarpun masih terkejut dengan kejadian mengorbankan dua anaknya itu, dia tetap bersyukur kerana mayat mereka ditemui tidak sampai tempoh 24 jam.

“Jenazah anak sulung yang ditemui pada jam 3.47 petang semalam (kelmarin) telah selamat tiba di Kelantan untuk dikebumikan hari ini (semalam).

“Selepas proses bedah siasat adiknya selesai di Hospital Dungun nanti, jenazahnya akan saya bawa pulang ke Kelantan untuk dikebumikan, ” katanya.

Dalam kejadian jam 10.56 pagi semalam, dua beradik itu dilaporkan lemas ketika mandi bersama dua rakan, Muhammad Farish Iqbal Cik Mohanarunasdi, 14, dan Muhammad Afi Naashif Adli Noone, 15.

Kedua-dua mangsa dihanyutkan arus deras manakala Muhammad Farish Iqbal dan Muhammad Afi Naashif selamat dalam kejadian itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top