
Operasi diselaraskan pelbagai agensi memastikan musim haji kali ini berjalan lancar. Foto Agensi
MAKKAH – Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi pada Sabtu mengumumkan kejayaan musim haji 2026 di tengah-tengah situasi yang tidak menentu di rantau Asia Barat.
Menurutnya, persediaan untuk musim haji 2027 sudah pun bermula sebelum kumpulan terakhir jemaah haji pulang ke negara masing-masing.
Tambahnya lagi, penamatan musim haji 2026 menandakan permulaan persiapan untuk musim berikutnya dengan pelan keselamatan dan operasi segera disemak semula.
Saudi Press Agency (SPA) melaporkan lebih 1.7 juta jemaah menunaikan Rukun Islam Kelima pada kali ini.
Ia berdasarkan data Pihak Berkuasa Am untuk Statistik yang menunjukkan angka itu termasuk kira-kira 106,646 rakyat tempatan.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan juga mengesahkan musim haji kali ini berakhir tanpa sebarang penularan wabak atau ancaman kesihatan awam.
Menteri Kesihatan, Fahad AlJalajel berkata, kejayaan itu mencerminkan keprihatinan pemerintah terhadap kesihatan para jemaah dan kesiapsiagaan sistem kesihatan yang diselaraskan bersama pelbagai agensi yang lain. – Agensi



