Hamzah dah ‘move on’ daripada Bersatu – Wan Saiful

Hamzah dah ‘move on’ daripada Bersatu – Wan Saiful

SHAH ALAM – Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menyangkal dakwaan kononnya Datuk Seri Hamzah Zainudin menggunakan Pas dan UMNO sebagai modal untuk memecah-belahkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Wan Saiful berkata, tuduhan yang dilemparkan bekas setiausaha sulit kanan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad itu tidak berasas dan menyifatkan ia sebagai usaha terdesak untuk menutup kelemahan sendiri.

“Saya jawab terus terang bersama berfakta, Marzuki tuduh Hamzah ‘jaja’ nama Presiden Pas dan mengaitkan pertemuan Tan Sri Abdul Hadi Awang serta pemimpin Pas di White House (pejabat Hamzah di Bukit Tunku, Kuala Lumpur).

“Saya ada dalam pertemuan 18 Februari 2025 itu bersama Hamzah, Datuk Dr Radzi Jidin, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad.

“Kalau Radzi Jidin ada maruah, dia sepatutnya boleh sahkan kandungan pertemuan itu, jangan biarkan Marzuki bercakap dalam kejahilan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Beliau menegaskan Pas bukanlah parti yang mudah dipengaruhi mana-mana individu kerana mempunyai pengalaman luas mentadbir kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Menuduh Hamzah atau sesiapa saja mempergunakan Pas adalah bukti mereka menghidap sindrom penafian yang serius.

“Kalau Pas mahu menilai semula hubungannya dengan Bersatu, puncanya tidak lain dan tidak bukan adalah disebabkan nasihat-nasihat salah yang diberikan oleh orang sekeliling Muhyiddin,” katanya lagi.

Menurut Wan Saiful, Hamzah menyertai Bersatu atas pelawaan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika penubuhan parti.

Malah tambahnya, bekas Timbalan Presiden Bersatu itu turut memainkan peranan besar dalam usaha mendapatkan sokongan Ahli Parlimen Pas serta UMNO hingga Muhyiddin berjaya dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac 2020.

“Jadi naratif yang digambarkan Marzuki kononnya Hamzah tak kenang budi Muhyiddin adalah karut kerana selama ini beliaulah yang paling banyak membantu Muhyiddin dan parti.

“Hamzahlah yang memujuk Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan susun dengan Pas demi memastikan Muhyiddin mendapat majoriti, Azmin hanya membawa 11 Ahli Parlimen PKR dan selebihnya, kerja politik besar itu digalas Hamzah,” katanya.

Selain itu, beliau mendakwa Hamzah banyak membantu dari sudut kewangan parti ketika menjadi Setiausaha Agung Bersatu (SUA).

“Hamzah keluarkan duit poket sendiri selama berbulan-bulan untuk bantu operasi parti dan Perikatan Nasional berjalan.

“Gerak kerja parti hidup kerana pengorbanan beliau, ini berbeza apabila Azmin jadi SUA, pejabat Perikatan Nasional pun tak dioperasi dan ditutup,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau mendakwa Ahli Parlimen Larut itu tidak lagi memberi tumpuan kepada Bersatu selepas pemecatannya, sebaliknya kini fokus kepada agenda RESET.

“Kami bersama Hamzah kerana percaya kepada kepimpinan dan hala tuju beliau dan Hamzah dah ‘move on’ daripada Bersatu, beliau langsung tidak bercakap tentang Bersatu.

“Sepatutnya Marzuki nasihat Muhyiddin supaya jaga Bersatu elok-elok, jangan sampai Pakatan Harapan (PH) tak terima kemasukan bila sampai masanya nanti,” katanya.

 

Scroll to Top